Sindiket caj RM15,000 bawa masuk warga Bangladesh ke Malaysia tumpas

Sindiket caj RM15,000 bawa masuk warga Bangladesh ke Malaysia tumpas

SEBAHAGIAN warga Bangladesh yang diselamatkan JIM dalam satu serbuan di Klang Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu sindiket pemerdagangan manusia menggunakan modus operandi mengenakan bayaran sebanyak RM15,000 seorang bagi membawa masuk warga Bangladesh ke negara ini tumpas apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Serbuan menerusi operasi khas di sekitar Klang, Selangor itu dibuat berdasarkan risikan selama dua minggu melibatkan pasukan daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Jabatan Imigresen dalam kenyataan berkata, seorang lelaki warga Bangladesh disyaki sebagai ‘penjaga premis’ berusia lingkungan 30 tahun telah ditahan.

Katanya, lelaki itu juga tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Hasil pemeriksaan lanjut di premis tersebut, pasukan operasi berjaya menyelamatkan enam orang lelaki warga Bangladesh berusia di antara 18 tahun hingga 41 tahun.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, ‘penjaga premis’ itu juga cuba melarikan diri melalui tingkap di sebuah bilik dan berlaku sedikit pergelutan, namun berjaya digagalkan,” katanya malam ini.

Jelas kenyataan itu, modus operandi sindiket berkenaan adalah membawa masuk warga Bangladesh yang ingin mencari pekerjaan di negara ini.

“Sindiket akan membawa masuk mangsa sebagai pelancong dan segala urusan pasport, visa dan tiket penerbangan mangsa diuruskan oleh sindiket.

“Seterusnya mangsa akan dibawa dan ditempatkan di rumah transit,” katanya.

Kadar bayaran dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM15,000 untuk setiap orang dan tambahan RM5,000 seorang untuk membolehkan mangsa keluar dari rumah transit tersebut.

Jabatan Imigresen turut menahan penjaga premis kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.12 Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670)

Dalam pada itu, katanya, enam lelaki Bangladesh yang diselamatkan dibawa ke rumah perlindungan di Tanjung Kling, Melaka untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya