Siasatan terhadap Allahyarham Daim, isteri di bawah AMLA masih diteruskan - SPRM

Siasatan terhadap Allahyarham Daim, isteri di bawah AMLA masih diteruskan – SPRM

SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin. 

SPRM dalam satu kenyataan berkata, siasatan bagi Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih diteruskan.

Siasatan ini turut melibatkan isteri Allahyarham iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Kadir, serta ahli-ahli keluarga beliau.

“Siasatan ini tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara selain penyelidikan jejak kewangan (money trail) di luar negara yang sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa,” katanya.

Tambah kenyataan itu, SPRM juga telah membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang diperoleh dalam Pandora Papers pada Februari tahun lalu.

“Siasatan ke atas maklumat dalam Pandora Papers ini telah membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu, di mana Daim memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

“Seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) telah mengkehendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis,” jelasnya.

SPRM memberitahu, Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan pihaknya memberikan lanjutan iaitu pada 6 Julai ; 10 Ogos ; 11 September; 11 Oktober dan terakhir pada 14 November 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset tersebut.

Namun, pada 29 Januari lalu, Daim telah didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir iaitu 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.

“Setelah Daim meninggal dunia pada 20 November lalu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan Allahyarham daripada pertuduhan gagal mematuhi notis tersebut mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) itu.

“Kenyataan Media ini bertujuan untuk memperjelaskan dan membetulkan pelbagai dakwaan yang tidak berasas serta mengelirukan di media dan media sosial berkaitan isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, SPRM meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi berhubung kes ini dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan lancar tanpa sebarang gangguan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya