PETALING JAYA: Siasatan polis terhadap Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berhubung ucapan yang tular sebelum ini perlu digugurkan serta-merta.
Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut disifatkan sebagai keterlaluan.
“Nampaknya sekarang tiada siapa yang boleh mengkritik Perdana Menteri. Ini adalah tadbir urus ala Korea Utara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Rafique mendakwa beliau sekali lagi disiasat atas tuduhan hasutan, menuduh adanya tekanan dari luar ke atas pihak berkuasa untuk bertindak terhadap pengkritik kerajaan.
Muhammad Rafique yang juga seorang peguam berkata, beliau disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN