Siasatan kes Faisal Halim disimbah asid masih berjalan - Razarudin

Siasatan kes Faisal Halim disimbah asid masih berjalan – Razarudin

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menghentikan siasatan kes simbah asid membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim di sebuah pusat belah-belah di Kota Damansara di sini, Mei lalu. 

Menegaskan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sejak siasatan dibuka pada Mei lalu, pihaknya telah mengambil keterangan seramai 23 individu dan menahan tiga suspek bagi membantu siasatan. 

Katanya, daripada tangkapan dilakukan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah melakukan siasatan secara terperinci, namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit. 

“Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek mendapati tiada bukti atau perbualan yang mereka terlibat dalam kes itu. 

“Malah, pihak JSJ turut melakukan pemeriksaan terhadap akaun-akaun bank mereka (suspek), namun tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah bayaran ditemukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin menjelaskan, pemeriksaan terhadap nombor plat motosikal digunakan suspek didapati palsu.

Malah, ujarnya, daripada hasil siasatan, pihak polis turut mengeluarkan fotofit suspek bagi mendapatkan bantuan dan maklumat orang ramai. 

“Walaupun pelbagai usaha dibuat pihak polis, kita tidak pernah menghentikan siasatan dan menunggu sekiranya terdapat maklumat baharu bagi kes ini.

“Justeru, kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil dan menyalurkan kepada pihak polis,” katanya. 

Akhbar semalam melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Najwan Halimi memberitahu, kerajaan negeri Selangor masih menunggu laporan siasatan kes itu.

Najwan dilaporkan berkata, Speaker DUN Selangor sudah menulis surat kepada pihak polis memaklumkan usul yang dipersetujui secara konsesus pada sidang DUN terdahulu, Julai lalu.

Dalam surat itu, DUN Selangor meminta siasatan menyeluruh dibuat dan laporan hasil siasatan berkenaan didedahkan kepada umum.

Namun sehingga kini, Najwan berkata, kerajaan negeri masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai siasatan kes berkenaan.

Pada 5 Mei lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya