GEORGE TOWN: Kes dua beranak mati ditikam di hadapan lif sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, di sini pada Khamis lalu masih dalam siasatan polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, setakat ini, kertas siasatan kes itu belum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya.
“Belum lengkap lagi (kertas siasatan). Kami akan rujuk (kertas siasatan itu) ke Timbalan Pendakwa Raya selepas lengkap.
“Suspek juga masih di hospital ketika ini dan keadaannya juga telah stabil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.54 tengah hari itu, Siti Zulaila, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam oleh suspek dengan menggunakan sebilah pisau.
Suspek kemudian bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri beberapa kali selepas membunuh dua beranak tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada perintah reman ke atas suspek yang akan tamat pada 14 November ini akan disambung atau tidak, Swee Sake berkata, perkara itu bergantung kepada perkembangan siasatan.
“Kami akan sambung reman sekiranya siasatan masih belum lengkap,” katanya yang memberitahu, semakan mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, namun, polis masih menunggu laporan ujian darah lelaki terbabit.
Dalam perkembangan lain, Swee Sake memaklumkan, kakak angkat dan teman lelaki kepada remaja perempuan yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Farlim, semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
“Mereka sudah diberi jaminan polis dan sudah dibebaskan sementara menunggu laporan patologi.
Keterangan telah dirakam daripada kedua-dua remaja tersebut dan kes kematian remaja perempuan ini diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.
Semalam, dua individu itu ditahan selepas ujian saringan air kencing menunjukkan kedua-dua mereka positif dadah. – UTUSAN