'Shuib keluar duit sendiri bayar staf, lama tak ambil gaji'

‘Shuib keluar duit sendiri bayar staf, lama tak ambil gaji’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib iaitu Wati mendedahkan suaminya sudah lama tidak mengambil sebarang gaji malah mengeluarkan duit sendiri untuk membayar gaji pekerja.

Wati atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, mendedahkan perkara itu kerana tidak sanggup melihat suami menjadi bahan cercaan masyarakat berikutan dakwaan pelawak itu menggunakan wang PERKESO pekerja untuk menunaikan umrah.

“Dia sudah lama tidak ambil gaji, malah setiap bulan keluarkan duit sendiri untuk bayar gaji pekerja.

“Pengurusan lama bermasalah tapi hujung-hujung dia kena fitnah begini. Semoga suami saya diberikan ketabahan.

“Insya-Allah dia tahu halal haram,” tulisnya menerusi satu hantaran di Instagram Story.

Bukan itu sahaja, Wati secara berlapik memberi nasihat kepada warganet agar tidak cepat mempercayai berita palsu dan fitnah yang ditulis pihak tidak bertanggungjawab di internet.

“Dulu sebelum tahu dunia artis, saya pun baca juga portal dan mula hakimi itu dan ini. Tapi sekarang baru saya faham tidak semua cerita adalah benar.

“Kita tiada dalam dunia, kehidupan mereka dan tidak tahu perkara sebenar. Tapi pernah tak kita fikir bila kita fitnah, apa kesannya kepada emosi mereka?

“Tanpa sedar, kita kumpul dosa setiap hari,” tambahnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Shuib dan pengarah Bubblebee, Kho Choon didenda sebanyak RM17,500 di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN