KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 90-an, Shaharim Sallehudin, 59, atau Sheqal tidak dapat menahan sebak mengenangkan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya.
Sejak diserang angin ahmar sebanyak empat kali tahun lalu, kehidupan penyanyi Kasih Tak Terurai itu mula diuji termasuklah perniagaan yang diusahakan tidak menjadi.
“Dulu saya bantu orang lain, sekarang saya yang terima bantuan. Rasa amat sedih.
“Sebelum ini saya ada perniagaan sendiri iaitu kopi, tetapi sejak sakit semua itu sudah tiada. Dengan sumbangan ini dapat mengurangkan sedikit beban,” katanya.
Sheqal ditemui Utusan Malaysia ketika Majlis Sumbangsih Prihatin anjuran Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Bercerita lanjut tentang masalah kesihatan yang dihadapi, Sheqal tidak lagi menerima tawaran bernyanyi. Oleh itu, banyak masa dihabiskan dengan menulis buku keagamaan.
“Menulis adalah cara saya teruskan bidang seni. Saya tulis syair tengang agam dan dibukukan.
“Biasanya saya menulis selepas solat tahajud dan sunat dhuha. Ini juga cara saya melupakan kesakitan seketika,” katanya.
Dia turut terharu apabila ramai rakan artis masih ingat kepadanya sehingga ada yang sanggup pergi ke kediamannya yang terletak di Seremban.
Terdahulu, Sheqal merupakan salah seorang daripada 30 penerima sumbangan oleh Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) hasil kerjasama dengan persatuan Karyawan.
Sumbangan berbentuk wang tunai bernilai RM5,000 itu disalurkan kepada artis-artis yang memerlukan rawatan kesihatan, perubatan serta sokongan kewangan demi menjalani kehidupan.
Pengerusi Yayasan PEKEMA, YBhg. Datuk Hj Mohamed Nazari Bin Noordin bantuan ini diberikan bagi menghargai sumbangan golongan seni kepada negara.
“Kami di Yayasan PEKEMA berbesar hati dapat bekerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia dalam usaha membantu 30 orang artis yang memerlukan.
“Ini adalah tanggungjawab sosial kami untuk memastikan bahawa mereka yang telah memberikan sumbangan besar kepada industri seni tidak dilupakan.
“Dengan sumbangan ini, kami berharap ia dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang memerlukan.” katanya.
Turut sama menerima sumbangan ialah Zaiton Sameon, Norlia Ghani, Isma Alif, Kieran, Murali Abdullah dan lain-lain. -UTUSAN