SHAH ALAM: Penyanyi, Ezra Kairo dan Zubir Khan meluahkan rasa bersyukur apabila lagu mereka yang menjadi siulan di platform TikTok berjaya menembusi pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 39 (SFMM39), malam tadi.
Muncul buat pertama kali di pentas itu, Zubir mengakui gementar untuk membawakan lagu Yennode Macha meskipun berjaya menggamatkan suasana acara tersebut dengan persembahan yang memukau.
“Bagi saya dan Ezra, ini adalah pertama kali lagu tamil dipertandingkan untuk sebelum menembusi pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Malah, kami pertaruhkan dua lagu sudah tentu saya agak gementar.
“Ini platform pertama kami. Kalau kami sudah ada pengalaman mungkin kami lebih bersedia. Tapi, kami sudah buat yang terbaik dan kami akan perbaiki salah silap,” katanya.
Selain Yennode Macha, Zubir turut bergabung suara bersama Ezra untuk sebuah lagi lagu berbahasa tamil iaitu OMK.
Kata Ezra, dia dan Zubir tidak pernah menyangka kelainan yang ditonjolkan dalam industri muzik tanah air mampu mengubah sejarah hidup mereka selepas berjaya bertanding di pentas separuh akhir itu.
“Kami tidak pernah jangka kami berjaya tembus separuh akhir. Sejujurnya, kejayaan ini pun sudah besar bagi kami. Kami rasa ini adalah peluang besar buat kami dan kalau berjaya ke pentas akhir, Alhamdulillah. Kami akan cuba buat yang terbaik,” jelasnya.
Semalam, 17 buah lagu telah dipertaruhkan di pada malam pertama SFMM39 yang berlangsung di Studio 1, Glenmarie.
Bagaimanapun,penyanyi senior, Misha Omar yang sepatutnya menyanyikan lagu Masihkah Ada Rasa Itu digantikan dengan Vanessa Reynauld selepas memaklumkan mempunyai urusan yang tidak dapat dielak.
Manakala, Sharul Kamal mengambil alih tugas Fahimi Rahmat yang sedang menunaikan umrah untuk menyampaikan lagu yang pernah viral berjudul Angau.
Selain Yennode Macha dan OMK, lagu yang turut bertanding adalah Saksama (Akim & Majistret), Oh Huminodun (Elica Paujin), Sengaja (Amir Masdi), Belakang Tabir (Syamel), Helah (Puteri Khareeza) dan ILU (Aepul Roza).
Bukan itu sahaja, Memori Mungkin Berulang (Tomok & Siti Nordiana), Aura (Ernie Zakri), Tangis (Nabila Razali), Terus Bersinar (Hafiz Suip), Hening Rindu (Marsha) dab Retak Hatiku (Iera Milpan) juga dipertandingkan di SFMM39. -UTUSAN