KUALA LUMPUR: Pelakon, Khatijah Tan memaklumkan sering berdepan gangguan mistik lebih-lebih lagi ketika mengikuti penggambaran drama atau filem.
Namun, pelakon berusia 63 tahun itu yakin gangguan yang dialaminya bukan disebabkan perbuatan khianat orang.
“Memang banyak kali saya berhadapan gangguan ini. Tapi, saya yakin, saya bukanlah mangsa perbuatan santau atau sihir.
“Saya biasa hadapi situasi ini, apa lagi sepanjang tinggal dan membesar di Perak. Kadang, gangguan itu tidaklah ditujukan kepada saya, mungkin ‘terkena’ selepas individu berkenaan melepaskan saka.
“Tapi saya bersyukur, kerana bapa saudara saya berkemahiran untuk merawat masalah berkaitan mistik. Setiap kali saya terkena gangguan, dia akan dapat petanda dan segera menghubungi saya untuk bertanya khabar,” katanya.
Khatijah berkata demikian pada malam gala filem Jangan Pandang Belakang 2, baru-baru ini.
Khatijah dalam pada itu tidak menolak jalan cerita filem tersebut ada pertaikan dengan kehidupan sebenarnya.
“Dulu, datuk saya pernah memaklumkan ada yang sayangkan saya (saka). Kalau mengenai saka ini, ada yang merosakkan dan ada juga yang lebih menjaga.
“Tapi, saya bergantung kepada Allah S.W.T semata-mata. Sebab itu, saya rujuk kepada pengamal perubatan Islam untuk mengetahui apa punca saya sering diganggu, sebab saya tak mahu terkait dengan perkara-perkara yang menyalahi agama,” katanya lagi.