PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, menyifatkan pemergian komposer, S Atan sebagai berita yang menyedihkan, apalagi dia sudah menganggap arwah seperti abangnya sendiri.
Bercerita lanjut mengenai keperibadian S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, Jamal menyifatkan lagenda itu seorang yang tegas dan serius terhadap kerjayanya sebagai seorang pemuzik.
“Secara peribadi, saya menganggap arwah seperti abang sendiri.
“Dalam studio dia agak tegas dengan penyanyi baru. Namun kami sudah lama bekerjasama, jadi dia tahu cita rasa kami dan memberi ruang untuk saya mengalunkan lagu dengan gaya sendiri.
“Selain itu, kami mempunyai persamaan di mana kami serius terhadap kerja. Oleh itu kami tidak suka jika ada ramai orang di dalam studio rakaman.
“Saya berasa sedih dengan berita ini namun bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan beliau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular 2009 ini juga menyifatkan kerjayanya hari ini banyak dibantu oleh arwah yang menghasilkan lagu malar segar untuknya.
“Bagi industri seni, ini sebuah kehilangan besar terutama bagi penggiat lagu Melayu.
“Sepanjang hayatnya, arwah menghasilkan beberapa lagu untuk saya iaitu Salam Aidilfitri, Rindu Di Hari Lebaran dan menerbitkan sebuah album.
“Kerana keserasian antara kami, saya banyak menggunakan khidmat beliau sebagai pengarah muzik baik untuk konsert di Istana Budaya juga sehingga ke Singapura.
“Beliau faham saya dan begitu berjasa dalam perkembangan kerjaya saya,” katanya.
Terdahulu, Datuk S Atan disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun di Kajang pada Sabtu.
Berita pemergian S Atan disahkan isterinya, Datin Norizan Yeob.
Pada 16 September lalu, S Atan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. -UTUSAN