PARIT: Seorang pelajar lelaki Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut manakala tiga rakan cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas berhampiran sebuah pasar raya di Bandar Seri Iskandar, di sini semalam.
Mangsa berusia 19 tahun berasal dari Sabah itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza itu diterima pada pukul 8.19 malam.
Katanya, sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar diatur gerak ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya di lokasi kemalangan, didapati sebuah kereta telah terbabas ke bahu jalan namun tiada mangsa yang tersepit.
“Nahas melibatkan empat orang mangsa berusia 19 tahun namun seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian manakala tiga yang lain cedera ringan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, rawatan awal diberikan kepada tiga mangsa yang cedera sebelum mereka dihantar ke Hospital Changkat Melintang menggunakan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 8.49 malam,” katanya. – UTUSAN