KUALA LUMPUR: Selepas perceraian berjaya difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, pelakon, Diana Danielle enggan ditemu ramah dan meluru berjalan ke kereta.
Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson, 33, memilih mendiamkan diri dan tidak memberikan respons ketika diasak pelbagai soalan.
Menurut peguam, Datuk Akbardin Abdul Kader, permohonan cerai hari ini berlaku kerana tiada persefahaman antara Diana Danielle dan suami, Farid Kamil.
Mahkamah juga turut menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan pertama bagi permohonan rujuk dan perceraian.
Dalam pada itu, Akbardin menjelaskan sekiranya pihak Farid Kamil enggan memberi kerjasama untuk perceraian bersama (mutual divorce) maka proses akan berlangsung lebih panjang.
Terdahulu, aktres, Diana Danielle dilihat tenang hadir ke Mahkamah Syariah Rendah Wilayah Persekutuan dalam pakaian serta hitam pada pukul 9 pagi bagi memfailkan cerai terhadap suami, Farid Kamil.
Sebelum ini, pada 28 Oktober, Diana mengumumkan bakal memfailkan cerai terhadap Farid menerusi sebuah kenyataan di Instagram.
Bagaimanapun, Farid menjelaskan hanya berlaku salah faham kecil dan mereka masih berhubung seperti biasa.
Diana bagaimanapun menafikan perkara itu selain menegaskan sudah menghantar notis pindah rumah kepada Farid menerusi Whatsapp bagi menghormati proses perceraian.
Untuk rekod, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk
selepas 21 hari berpisah.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. – UTUSAN