KUALA LUMPUR: Aktres, Diana Danielle dilihat tenang hadir ke Mahkamah Syariah Rendah Wilayah Persekutuan bagi memfailkan cerai terhadap suami yang juga pelakon, Farid Kamil.
Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, tiba dalam pakaian serba hitam pada pukul 9 pagi diiringi peguam Datuk Akbardin Abdul Kader.
“Selagi kita boleh senyum, senyumlah ya.
“Saya berserah sahaja dan harap yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika berjalan ke bilik pendaftaran.
Pelakon Imaginur itu juga berharap proses perceraian akan berjalan lancar bagi kebaikan kedua-dua pihak.
“Saya rasa (proses perceraian) tidak perlu panjang.
“Mahu kata nekad atau tidak, saya berserah. Kita hanya mampu merancang selebihnya kita lihatlah apa penghujungnya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Akberdin berkata permohonan itu dibuat susulan tiada persefahaman.
“Boleh dikatakan mereka tiada persefahaman. Hari ini kami hanya failkan dan akan dapatkan tarikh kemudian,” katanya.
Terdahulu pada 28 Oktober, Diana mengumumkan bakal memfailkan cerai terhadap Farid menerusi sebuah kenyataan di Instagram.
Bagaimanapun, Farid menjelaskan hanya berlaku salah faham kecil dan mereka masih berhubung seperti biasa.
Diana bagaimanapun menafikan perkara itu selain menegaskan sudah menghantar notis pindah rumah kepada Farid menerusi Whatsapp bagi menghormati proses perceraian.
Untuk rekod, pada 10 Ogos tahun lalu, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk
selepas 21 hari berpisah.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad,11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. -UTUSAN