Senior boleh nasihati pendatang baru, tapi bukan mencela - Utusan Malaysia

Senior boleh nasihati pendatang baru, tapi bukan mencela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Iqram Dinzly, menasihati artis senior dalam industri hiburan untuk menegur tindakan pendatang baharu dengan bijaksana.

Menurut Iqram atau Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin , 43, tidak wajar bagi para senior terlalu menghukum tindakan artis yang sedang meningkat naik.

“Hari ini, peluang dan masa penggambaran menjadi semakin kurang kerana ada banyak persaingan.

“Bagaimanapun, saya alu-alukan kedatangan pendatang baharu. Kita tidak perlu menghukum mereka yang sedang meningkat naik. Bagi saya ia tidak baik juga.

“Sebagai senior, kita kena faham kehidupan ini bagaikan roda. Sekiranya mahu menegur atau menasihati, boleh, tapi bukan dengan gaya mencela. Itu tidak bagus. Kita kena fikir dengan lebih bijaksana.

“Bukan hanya artis dan produksi, malah semua kena bekerjasama untuk pembangunan industri yang lebih sihat,” katanya.

Iqram berkata demikian ketika mengulas senario industri hiburan yang berlaku akhir-akhir ini.

Bercakap soal tawaran lakonan, pelakon Dunia Baru itu menyerahkan urusan rezeki kepada Allah dan tidak mempunyai sebarang hasad dengki menjatuhkan orang lain.

“Saya tidak reti ‘kipas’ penerbit. Saya serahkan bulat-bulat kepada Allah kerana yang penting kita buat baik kepada orang tanpa niat menjatuhkan atau tikam belakang.

“Cemburu boleh, untuk kita berusaha lebih baik. Tapi dengki itu bahaya. Namun kalau ada yang rasa ‘kipas mengipas’ boleh buat mereka bahagia dan beri ketenangan jiwa, silakan,” tambahnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, seorang pelakon baharu mendakwa terdapat budaya buli antara pelakon senior-junior terjadi di set penggambaran.

Bagaimanapun, penerbit dan pengarah Ahmad Idham menafikan perkara tersebut dan menyifatkan kenyataan itu sebagai pukul rata. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya