INDUSTRI hiburan di negara mana pun bukanlah tempat yang sunyi dengan ujian. Ada sahaja cabaran contohnya kerjaya yang dibina bertahun-tahun boleh ranap sekelip mata hanya dengan satu skandal.
Berikut adalah senarai selebriti yang jatuh terduduk namun berjaya mencari cara untuk kembali bertahan sebagai anak seni di Korea Selatan.
KIM JI-SOO
KETIKA dapat menjadi watak utama selepas bertahun-tahun berlakon sebagai watak pembantu, kerjaya pelakon itu mula goyah selepas didakwa melakukan gangguan seksual semasa zaman persekolahan.
Pelakon itu mula digugurkan daripada menjadi hero drama River Where the Moon Rises.
Namun begitu, tidak lama selepas itu pihak guaman mewakili Kim mendedahkan penulis hantaran tersebut mengakui bahawa ia satu kesilapan dan meminta maaf atas tuduhan tersebut.
Merupakan antara ahli yang paling banyak mendapat perhatian dalam NCT selepas debut pada 2018.
Namun, skandal bermula apabila bekas kekasihnya memuat naik bukti seperti resit, bayaran hotel, mesej penyanyi itu bukan sahaja curang, malah mengikis duit. Malah, Lucas turut berkata buruk mengenai ahli NCT yang lain mendakwa mereka tidak cukup berbakat dan diterima hanya kerana wajah yang kacak.
Selepas menulis surat permohonan maaf kepada peminat, agensi bakatnya, SM Entertainment mengumumkan pengunduran penyanyi itu daripada NCT.
Selepas dua tahun menyepi, Lucas kembali ke dalam industri hiburan secara solo bermula dengan sebuah dokumentari menceritakan penyesalan atas perbuatannya sebelum ini.
KIM SEON-HO
MERUPAKAN skandal terhangat yang menggoncang industri hiburan Korea pada 2021, ketika itu drama lakonannya, Hometown Cha Cha Cha sedang hangat mendaki rating tayangan.
Setelah tamat episod akhir tayangan, tiba-tiba gempar satu kenyataan yang dikeluarkan bekas kekasih Kim mendakwa pelakon itu memaksanya menggugurkan kandungan selain mengata teman sekerja.
Hasil daripada kenyataan yang tular itu, Kim dicemuh, dihina dan namanya digugurkan daripada projek filem dan iklan.
Bahkan, ada produk yang meminta artis itu membayar ganti rugi kerana perniagaan mereka terjejas skandal tersebut.
Bagaimanapun, Kim satu satunya artis Korea yang terselamat daripada dipulaukan tanpa mengeluarkan apa apa kenyataan.
Semuanya berkat pertolongan sebuah portal bernama Dispatch yang mendedahkan kronologi sebenar kejadian itu.
Melalui mesej dan kajian yang dilakukan Dispatch, mereka menunjukkan bukti bahawa Kim melayani kekasihnya begitu baik, bertentangan seperti yang tersebar.
Sejak itu, Kim kembali mendapat tawaran selain menerima gelaran ‘Budak Baik’.
KIM JUNG-HYUN
SEMUANYA bermula dengan sikap dingin pelakon itu kepada rakan pelakonnya Seohyun ketika drama The Time.
Walaupun berlakon sebagai pasangan kekasih, Kim dikatakan akan mengelap tangan dengan tisu selepas merakamkan babak berpegangan tangan dengan Seohyun.
Malah, dia juga meminta pengarah memotong banyak adegan romantis sehingga Seohyun menangis terkejut.
Namun laporan Dispatch menunjukkan rupanya dia dikawal oleh kekasihnya, Seo Ye-ji yang memintanya tidak rapat dengan pelakon wanita selain menghantar bukti video semasa penggambaran.
Kim bagaimanapun tampil meminta maaf kepada umum atas tindakannya itu dan berpisah dengan Seo tidak lama selepas itu.