PUTRAJAYA: Semua pihak diseru untuk bersolidariti membantu meringankan beban mangsa yang terkesan akibat bencana banjir terburuk ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, musibah banjir adalah satu bencana dan kekuasaan Allah SWT sebagai ujian kepada manusia.
Dalam hal ini, katanya, usaha membantu antara satu sama lain perlu digerakkan mengikut kemampuan masing-masing dengan mengenepikan sebarang agenda politik.
“Masyarakat boleh membantu sekalipun dengan memberikan kata-kata semangat yang baik dan positif sebagai sokongan moral kepada mangsa.
“Pengguna media sosial juga dinasihatkan tidak menggunakan medium itu untuk mengguriskan perasaan mangsa, sebaliknya ia boleh digerakkan sebagai kempen untuk bersolidariti bersama mangsa banjir,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Na’im berkata, pihaknya turut prihatin terhadap mangsa banjir dengan menggerakkan Pasukan Sukarelawan Al-Falah MADANI yang dianggotai kesemua agensi hal ehwal Islam.
Katanya, langkah itu sebagaimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya anggota Kabinet turun padang ke kawasan bencana.
“Pasukan Sukarelawan ini bagi melaksanakan program khidmat bantuan dan pertolongan pasca banjir kepada masyarakat yang ditimpa musibah.
“Ia diselaraskan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang akan membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, agensi- agensi pusat serta pihak berkuasa yang terlibat dalam pengurusan bencana,” katanya.
Pada masa sama, katanya, orang ramai boleh menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Musa’adah Musibah Banjir yang dikelolakan bersama oleh Jakim dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) menerusi nombor akaun : CIMB BANK 86-0221818-6
“Saya mendoakan semoga semua pihak yang ditimpa musibah banjir terus bersabar dan diberikan kemudahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya. – UTUSAN