Semarak20: TPM arah FELCRA beri penjelasan kepada PAC

Semarak20: TPM arah FELCRA beri penjelasan kepada PAC

AHMAD ZAHID Hamidi menyampaikan watikah pegawai kehormat Angkatan Pertahanan Awam (APM) kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh pada Mesyuarat Penyelarasan MEXCLUB di Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELCRA Berhad (FELCRA) diarah memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) agar badan itu tidak ‘tangkap muat’ berhubung maklumat penjualan bangunan komersial Semarak20 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kebimbangan disuarakan Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin itu berkemungkinan akibat tidak mendapat maklumat sebenar.

Katanya, sebagai sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, proses penjualan Semarak20 perlu secara en-bloc (keseluruhan) yang mengikut harga pasaran dan dibuat secara tender terbuka.

Jelasnya, ia bagi mengelakkan bebanan kewangan terhadap FELCRA yang membuat pinjaman sebelum ini untuk membangunkan bangunan komersial berkenaan.

“Kebimbangan PAC itu mungkin mereka tidak dapat maklumat sebenar, di mana FELCRA adalah sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan. 

“Jadi lebih mudah jika dijual secara en-bloc, keseluruhannya. Jadi saya akan minta Pengerusi FELCRA dan juga CEO FELCRA untuk memberikan penjelasan kepada PAC agar PAC jangan ‘tangkap muat’ sahaja apa maklumat yang diperolehi.

“Kerana FELCRA membuat pinjaman untuk mendirikan kompleks berkenaan, jika ia tidak dibayar maka akan melibatkan bebanan kewangan kepada FELCRA. Jadi jualan itu pun akan mengikut harga pasaran dan juga mungkin dibuat cara tender terbuka,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, FELCRA mencetuskan kebimbangan PAC kerana masih belum menjual bangunan komersial Semarak20, walaupun terdapat syarikat yang berminat.

PAC dalam laporan diterbitkan Selasa lalu memaklumkan, penjualan Semarak20 masih dalam status belum dijual dan cadangan itu hanya di peringkat perbincangan bersama pihak pembeli pada ketika ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa syarikat berpotensi dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan minat untuk membeli Semarak20 melalui kaedah en-bloc. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya