PETALING JAYA: Kenaikan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebanyak 15 peratus tidak memenuhi tuntutan Persatuan Veteran ATM yang mahu pencen bagi veteran ATM bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaraskan terlebih dahulu bersama pesara selepas tarikh itu.
Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, ia memandangkan veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 menerima pelarasan pencen fasa pertama sebanyak lapan peratus Disember ini berdasarkan gaji akhir mereka pada 2012.
“Sememangnya kita berterima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Pertahanan atas penyelarasan ini. Namun, sepatutnya penyelarasan itu dibuat selepas kami mendapat penyelarasan pencen yang sama seperti pesara selepas Januari 2013.
“Jumlah peratus yang diumumkan itu bukan perkara baharu malah ia adalah hak semua pesara ATM di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk pencen mereka diselaraskan mengikut kadar dan cara yang ditetapkan bagi semua yang bersara selepas 1 Januari 2013,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Veteran ATM yang berpencen sebelum 1 Januari 2013 akan menerima kenaikan pencen sebanyak 15 peratus.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenaikan pencen itu susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Disember ini.
Sehubungan itu jelasnya, veteran terbabit akan menerima pelarasan pencen fasa pertama sebanyak lapan peratus Disember ini berdasarkan gaji akhir pada 2012 dan pelarasan pencen fasa kedua sebanyak tujuh peratus akan dilaksanakan pada awal tahun 2026.
Mengulas lanjut, Sharuddin berkata, sekiranya tuntutan itu tidak dilaksanakan, dibimbangi berlaku jurang nilai pencen antara pesara ATM sebelum 1 Januari 2013 dengan mereka yang bersara selepas tarikh itu.
“Selesaikan dahulu tuntutan penyelarasan pencen bagi pesara sebelum 1 Januari 2013 kerana kita bimbang akan berlaku jurang antara kedua pesara ini. Untuk formula penyelarasan kami serahkan kepada kerajaan dan kementerian bagaimana ia dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN