Selangor tuai tiga mata tewaskan Kedah 1-0 - Utusan Malaysia

Selangor tuai tiga mata tewaskan Kedah 1-0

FAISAL Halim diasak pertahanan KDA, Wan Amirul Afiq Wan Rahman dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jaringan tunggal penyerang muda kebangsaan, Aliff Izwan Yuslan pada separuh masa kedua membantu Selangor FC untuk menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), 1-0 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Pasukan pelawat jelas menguasai perlawanan sejak awal perlawanan dengan bekas penyerang kebangsaan, Faisal Halim kembali berada dalam kesebelasan utama buat pertama kali selepas tragedi hitam menimpanya Mei lalu.

Namun percubaan tepat pertama pasukan itu hanya hadir pada minit ke-35 apabila penyerang dari Jordan, Ali Olwan melepaskan rembatan kaki kanan dari dalam kotak penalti tuan rumah. Penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim nyata lebih bersedia untuk menepis bola daripada membolosi gawangnya.

Seminit berselang, Mukhairi Ajmal menampilkan skrip hampir sama apabila membuat umpanan kepada kapten, Safuan Baharudin tetapi Ifwat sekali lagi menafikan percubaan itu setelah berjaya mendakap kemas bola.

Melihat kekebalan benteng Kedah dalam menangkis serangan Selangor, pengendali sementara mereka, Abdi Hassan menukar percaturan dengan memasukkan Aliff Izwan pada separuh masa kedua bagi menggantikan Faisal.

Kemasukan Aliff nyata menambah ketajaman barisan serangan mereka apabila penyerang muda itu meledak gol pembukaan pada minit ke-46 menerusi rembatan kaki kiri sebaik menerima hantaran lintang dari Ahmad Zikri Khalili.

Tanpa memberikan ruang untuk Sang Kenari mara ke kubu mereka, pelawat terus menggandakan asakan. Percubaan Safuwan dan Ali bagaimanapun gagal menembusi gawang tuan rumah termasuk rembatan Ali pada minit ke-59 yang ditepis Ifwat, dalam keadaan satu lawan satu.

Di sebalik kegelisahan penyokong KDA FC menyaksikan pasukan tuan rumah sering diasak, Sony Norde hampir memecah kebuntuan pada minit ke-63. Rembatannya dari dalam kotak penalti bagaimanapun terkena pertahanan Selangor, Umarbek Eshmurodov meskipun sudah melepasi jangkauan penjaga gol pasukan itu.

Ketumpulan jentera serangan Selangor FC bagaimanapun membuatkan pasukan itu terpaksa berpuas hati dengan hanya satu jaringan di sebalik kejayaan mereka mendapatkan tiga mata malam ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya