NIBONG TEBAL: Pelajar perlu bersiap sedia untuk mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sekiranya sekolah mereka terjejas akibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) selepas ini.
Difahamkan, ketika ini, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengatur persiapan rapi untuk berdepan sebarang kemungkinan susulan jangkaan berlaku Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal terjadi lebih awal pada kali ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, prosedur operasi standard (SOP) Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan yang disediakan kali ini juga merangkumi tindakan sebelum, semasa dan selepas banjir.
“Pertama, kita akan pastikan sekolah selamat, kondusif untuk meneruskan pendidikan anak-anak ini.
“Kalau sekolah itu tidak dapat meneruskan pendidikan seperti biasa kerana proses ataupun tempoh masa banjir itu masih lagi lama, maka, PdPR akan dilaksanakan.
“Jadi, semua guru kita ini sudah pun terlatih untuk membuat sebarang intervensi khususnya terkait rapat dengan situasi banjir dan situasi-situasi lain yang terkait rapat dengan banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup program My Lesen (B2) Tahun 2024 Parlimen Nibong Tebal di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan USM, Transkrian di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memaklumkan, kementerian turut menyediakan dua pasukan iaitu Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu murid dan pelajar dari aspek kaunseling dan pembelajaran.
Terdahulu, Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan ini menyaksikan taburan yang tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri di Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip dilaporkan berkata, dalam tempoh itu, negeri-negeri berkenaan dijangka menerima taburan hujan antara 20 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kadar biasa. – UTUSAN