‘Sejarah’ simbolik kerjaya Siti Nurhaliza selama tiga dekad

‘Sejarah’ simbolik kerjaya Siti Nurhaliza selama tiga dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas menerima penganugerahan Biduanita Negara, penyanyi, Seri Siti Nurhaliza muncul dengan single terbaharu berjudul, Sejarah.

Selain mempunyai signifikan tersendiri, lagu ciptaan maestro muzik dari Indonesia, Erwin Gutawa itu merupakan simbolik sempena tiga dekad Siti berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

Menurut Siti, kerjasama dengan maestro muzik itu menjadikan Sejarah lagu yang sangat istimewa buatnya selain menceritakan tentang perjalanan seninya.

“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang sudi menghasilkan sebuah lagu yang sangat menyentuh emosi saya apabila menyanyikannya.

“Lagu ini seperti saya berada dalamsemua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya.

“Siti juga berterima kasih kepada Aubrey Suwito yang telah membantu proses rakaman vokal lagu ini di Kuala Lumpur. Besar harapan Siti agar single terbaharu ini akan mendapat tempat di hati peminat,” kata Siti dalam satu kenyataan.

Lebih menarik lagi, lagu Sejarah turut menerima sentuhan istimewa daripada anak perempuan Erwin, Gita Gutawa selaku penulis lirik.

Menurut Erwin, lagu tersebut diciptakan khusus buat Biduanita Negara itu yang diinspirasikan daripada keindahan nyanyian serta personalitinya yang dikagumi ramai.

Lebih istimewa, Erwin menggunakan khidmat Czech Symphony Orchestra untuk mengiringi susunan muzik sekaligus menjadikan lagu itu buah tangan istimewa Siti Nurhaliza sebelum menutup tirai tahun ini.

Single terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini boleh distrim dan dilanggan di seluruh pelantar digital bermula 14 November 2024. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN