DRAMA curang, dicurangi bukanlah sesuatu naskhah yang boleh memancing saya sebelum ini.
Namun melihat kepada sumpah seranah, caci maki yang bertubi-tubi membanjiri seluruh platform media sosial membuat saya tertanya-tanya apa yang ada dalam Ipar Adalah Maut (IAM) sehingga berjaya menjadi filem yang memberi impak sedemikian rupa?
Jujurnya saya berkira-kira mahu menonton filem ini kerana merasakan Hanung Bramantyo seperti sudah hilang bisa beberapa tahun belakangan ini.
Namun, ternyata menyisakan sekitar dua jam menonton IAM bukanlah keputusan yang buruk.
Saya mengakui sedikit skeptikal dengan naskhah yang diambil daripada kisah nyata kerana selalunya hanya menunggang sensasi yang sudah tersedia di media sosial.
Ia pekerjaan yang (maaf) sedikit malas, kerana dalam naskhah sebelum ini, jika label ‘adaptasi dari kisah benar’ dicabut dari poster pemasaran, yang tinggal hanya cerita yang biasa-biasa sahaja.
Namun begitu, saya harus mengatakan Ipar Adalah Maut mengejutkan saya kerana plot ceritanya begitu lancar.
Tidak mudah memilih momen mana yang harus dimasukkan ke dalam cerita, namun IAM berjaya memuatkan juga menetaskan ‘easter egg’ yang menurut saya cemerlang menceritakan kecurangan yang berlaku.
Pada saya, kejayaan besar dalam IAM sudah ditunjang dengan ceritanya sendiri yang sudah menangkap. Ini bukan kisah curang biasa, tetapi insiden yang dianggap di luar norma daripada kendala akal manusia.
Lebih parah ia diadaptasi kisah benar, menunjukkan ini bukan cerita yang sengaja dikarang untuk buat penonton marah marah.
IAM meninggalkan satu kesan dan persoalan yang membuatkan penonton terfikir- fikir baik dari segi hukum hakam agama, punca keruntuhan rumah tangga juga amaran berjaga-jaga yang pernah diberikan nabi berabad silam.
Pendek kata, ia bukan naskhah patah hati semata mata, tapi dekat dengan semua orang – kerana hampir daripada kita pernah melihat keluarga yang mempunyai ipar.
Namun begitu, antara faktor lain sumbangan cerita ini ialah pemilihan pelakon yang begitu sesuai walaupun saya merasakan Deva tidak mempunyai keserasian yang kuat dengan Michelle.
Boleh jadi juga ini helah Hanung yang berjaya membuat saya terpancing melihat cinta yang lebih kuat antara Aris dan Rani berbanding isterinya sendiri, Nisa.
Karakter Aris juga menarik untuk dinilai, bagaimana seorang lelaki lulusan Denmark yang rajin solat rupanya sejenis Jake Gyllenhall atau Leornardo DiCaprio yang hanya mahukan seorang sunti berdarah muda dan bukannya ‘perempuan mandiri’ yang dilafazkannya dalam dialog di awal cerita.
Mungkin akhirnya Aris sedar bahawa dia tidaklah benar benar cintakan Rani, cuma terperangkap dalam masa lalu kerana Rani sangat mirip seperti Nisa semasa zaman belajar baik dari pakaian, gaya tudung, tempat duduk, kawan baik, juga gelang sama yang dipakai Nisa semasa kuliah diturunkan kepada Rani.
Mungkin dia hanya merindui Nisa yang dulu dan dirinya yang jatuh cinta pada usia muda. Apapun, ini adalah cerita yang sangat menggoncang emosi perempuan dan diulang tayang hanya untuk mencari sebab menghalalkan sumpah seranah setelah melalui hari yang panjang.