‘Sebak, hajat arwah ibu mahu lihat saya beraksi di pentas GV11 tidak kesampaian’ - Utusan Malaysia

‘Sebak, hajat arwah ibu mahu lihat saya beraksi di pentas GV11 tidak kesampaian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak mampu menahan sebak, penyanyi, Ronnie Hussein mengakui ralat apabila hajat arwah ibunya, Che Nah Jaafar untuk melihatnya beraksi di pentas program realiti, Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) tidak kesampaian.

Ronnie atau pemilik nama penuh Shahron Hussein, 43, berkata, dia bagaimanapun lega sempat berkongsi berita gembira itu sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 26 Oktober lalu.

“Saya sempat memberitahu ketika arwah berada di hospital. Waktu itu dia masih okey. Selepas ditahan di hospital pada hari pertama, saya sempat bercerita dengan dia yang saya akan sertai GV tetapi tidak secara serius sebab dia kurang sihat.

“Dia percaya yang saya boleh banggakan dia. Sebab itu saya berani juga ambil cabaran ini tetapi hajatnya tidak kesampaian untuk dia tengok saya di GV,” katanya.

Meskipun masih berduka, penyanyi lagu Dikoyak Waktu itu bangkit bersama semangat dan sokongan insan tersayangnya untuk terus pertaruhkan bakatnya di pentas mega tersebut.

“Ibu saya sentiasa menyokong apa yang saya buat selain percaya saya pandai jaga diri. Itu yang pernah dimaklumkan oleh isteri saya sendiri ketika ibu berkata demikian.

“Saya sudah tiada ayah dan ibu. Jadi saya ambil semangat mereka demi buktikan apa yang disuruh dan sokongan selama ini, dilakukan dengan sehabis baik. Saya harap dia selalu doakan saya, dapat banggakan dia,” jelasnya.

Dalam pada itu, penyanyi itu turut memberitahu dirinya sukar untuk menyanyikan lagu terbaharunya yang berjudul, Benar Aku Cinta yang baru sahaja dilancarkan pada 29 Oktober lalu.

Kata Ronnie, maksud lagu itu sangat dekat dan berkait rapat dengan situasinya yang masih belum pulih dari rasa sedih kehilangan insan tercinta.

“Lagu itu dilancarkan tiga hari selepas pemergian ibu. Sehingga kini, saya tidak dapat menyanyi lagu itu secara live di mana-mana. Lagu itu sangat dekat dengan kisah hidup saya dan buat saya sebak tiap kali mahu menyanyikannya,” katanya.

Mengulas mengenai penyertaannya di GV11, dia enggan melepaskan peluang keemasan untuk menyertai program realiti itu selain mahu melakukan yang terbaik setiap minggu.

“Bila pihak produksi tawar kepada saya, saya fikir banyak kali. Mungkin ini adalah masa terbaik untuk saya. Kita tidak tahu sama ada program GV ini akan diteruskan lagi atau tidak di masa akan datang.

“Saya terima tawaran itu juga menerusi pihak Indigital, saya pernah berurusan dengan mereka. Jadi saya rasa saya sudah bersedia sebab ada pasukan yang boleh memudahkan perjalanan saya di GV nanti,” ujarnya.

Ronnie merupakan antara 14 peserta yang bakal berentap di program realiti itu pada 24 November ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya