POKOK SENA: Suasana sayu menyelubungi pengebumian Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, apabila salah seorang anaknya tiba-tiba menangis dan memanggil bapanya ketika melihat jenazah diturunkan ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jalan Naka di sini.
Iman Nur Hannan, 8, yang merupakan anak kedua Allahyarham Mohamad Khairul Hakim menangis teresak-esak sehingga terpaksa ditenangkan oleh ibu saudaranya, Noriza Hamidi, 45.
Jenazah Mohamad Khairul yang juga Penolong Jurutera Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Langkawi itu selamat dikebumikan pada pukul 12.30 tengah hari dalam suasana penuh hiba.
Allahyarham Mohamad Khairul Hakim ditemukan lemas semasa terlibat dalam aktiviti berakit meredah jeram (water rafting) di Sungai Jahang, Gopeng pada pukul 3.30 petang semalam.
Semalam, tiga pegawai JKR dilaporkan lemas selepas bot mereka menyusuri Sungai Jahang, dekat Gopeng, terbalik akibat kejadian kepala air.
Selain mangsa, tragedi terbabit turut mengorbankan Jurutera Daerah Seberang Perai Tengah, Suhaili Mat Saad, 47, dan Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29.
Terdahulu jenazah dibawa ke Masjid Ar-Rayyan Kampung Bukit untuk disolatkan oleh kira-kira 300 jemaah termasuk anggota keluarga, rakan-rakannya dan penduduk kampung.
Mohamad Khairul Hakim yang berasal dari Kampung Bukit meninggalkan seorang balu, Nursharina Samsudin, 38, serta tiga anak yang masih kecil termasuk, Asma Nur Imani, 11, dan Muhammad Al Fateh, 6.
Sementara itu, kediaman keluarga Allahyarham yang terletak tidak jauh dari tanah perkuburan menerima kunjungan ratusan orang termasuk rakan, penduduk kampung dan rakan sekerjanya. – UTUSAN