PADANG TERAP: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau tidak menyebut nama sesiapa berhubung kenyataan scammer dalam isu kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC, baru-baru ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu berkata, beliau sendiri tidak tahu apa kata-katanya yang menyentuh individu atau syarikat tertentu hingga membuatkan beliau hendak disaman.
“Itu dia punya hal. Saya tak sebut nama beliau atau syarikatnya. Saya tak sebut nama siapa-siapa pun. Cuma saya katakan sesiapa yang hendak ambil alih KDA FC jangan jadi scammer, siapa makan cili dia rasa pedas.
“Saya takut dia tokak cabai saja tetapi saya pun tak tahulah dia ‘tokak’ atau tak,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Lot Desa Sejahtera Daerah Padang Terap di Kampung Perik, Mukim Kurung Hitam di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek yang memaklumkan syarikatnya memutuskan untuk menyaman Muhammad Sanusi sebanyak RM1 bilion berikutan kenyataan pada 7 November lalu.
Dalam sidang akhbar di Sungai Petani itu, Muhammad Sanusi mengalu-alukan hasrat pihak yang berminat mengambil alih KDA FC, namun menzahirkan harapan agar pihak berkenaan tidak melakukan ‘scam’.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, sebelum ini terdapat banyak pihak menyatakan hasrat untuk mengambil alih KDA FC, namun mereka pada akhirnya didapati melakukan penipuan.
“Kita cuma berharap pengalaman itu tak berulang dan itulah yang saya katakan sebelum ini. Itu satu bentuk kenyataan yang adil daripada seorang Menteri Besar. Saya cuma cakap jangan ‘scam’ tetapi kenapa ada pihak nak perasan pula,” katanya.
Tambahnya, setakat ini beliau belum menerima sebarang surat tuntutan (LOD) daripada pihak yang dikatakan mahu menyamannya dan menyifatkan ianya sebagai satu sejarah sekiranya beliau disaman RM1 bilion.-UTUSAN