KUALA LUMPUR: Sebulan bercerai, pelakon, Nur Fazura mengakui dirinya tidak berasa menyesal berkahwin dengan bekas suaminya, Fattah Amin selepas sudah melakukan yang terbaik demi mempertahankan rumah tangganya.
Fazura berkata demikian dalam sebuah sesi temu bual sebuah program ketika pengacaranya bertanya sama ada dia pernah ‘Bertahan Demi Cinta’ ketika mempromosikan lagu terbaharunya itu.
“Sudah tentu. Sejujurnya, saya pernah berkahwin selama tujuh tahun tetapi saya baru sahaja bercerai sebulan lalu. Tetapi, tiada penyesalan.
“Saya sangat bangga yang saya kuat dan tabah sebab saya dah berikan yang terbaik untuk perkahwinan saya dan sebaliknya,” katanya tenang menerusi video yang tular di TikTok.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah menimbulkan pelbagai respons yang segelintirnya mengecam dan ada juga yang memberikan kata semangat kepada pelakon filem Gol dan Gincu itu.
“Kalau gembira pun tak payah cakap macam tu. Alamak Fazura,” komen seorang netizen.
“Sebelum ini aku sokong Faz. Tapi bila dia rasa bangga apa yang terjadi, “tiada penyesalan” makin teruklah kena kecam. Fattah, terus ke depan. Tolong teruskan kehidupan, Insya-Allah ada yang terbaik buat Fattah,” komen seorang lagi netizen.
“Tahniah, Faz wanita kuat. Nak menyesal apa kan takdir Allah. Lagipun dapat Fatima yang membahagiakan. Awak ada segalanya dengan kerja keras bukan kerana duit lelaki. Jalan terus Faz,” kata seorang peminatnya.
Pada 7 Oktober lalu, Fazura dan Fattah telah sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari selepas aktres itu memfailkan perceraian pada 13 September lalu.
Selepas sebulan berpisah, peguam syarie yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan memberitahu pasangan itu telah selesai merekodkan persetujuan berkaitan nafkah idah dan anak perempuan mereka, Nur Fatima Aisya.
Malah, Fazura juga difahamkan telah membuat tuntutan hadanah terhadap Fattah dan dijangka bakal dibicarakan pada tarikh yang sudah ditetapkan di mahkamah yang sama. -UTUSAN