Saya sendiri perlu tambah baik, baiki diri sebagai isteri – Neelofa - Utusan Malaysia

Saya sendiri perlu tambah baik, baiki diri sebagai isteri – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak kebelakangan ini, isu rumah tangga dalam kalangan pasangan selebriti menjadi antara topik yang menarik perhatian ramai.

Lebih mengejutkan, pada Oktober lalu, boleh dikatakan hampir setiap minggu ada saja berita mengenai isu perceraian dan kemelut rumah tangga dalam golongan ini.

Enggan mencurahkan minyak ke dalam api, pemilik nama penuh, Noor Neelofa Mohd Noor, 35, memilih untuk tidak memberikan sebarang komen mahupun nasihat mengenai perihal itu selain mendoakan yang terbaik buat rakan selebriti.

Kata Neelofa, rumah tangganya masih setahun jagung, bahkan dirinya juga masih mempelajari ilmu untuk menjadi isteri yang terbaik buat suaminya, Haris Ismail.

“Saya rasa saya pun ada banyak lagi perkara yang perlu ditambah baik dan perbaiki sebagai isteri sebelum saya bersuara bagi nasihat dan pendapat.

“Umur perkahwinan saya tak sampai lima tahun lagi. Sangat segar, sangat baru dan setahun jagung.

“Kalau saya sudah berkahwin 20 atau 30 tahun nak bagi nasihat dan bercakap secara lantang, okey lah. Tapi untuk rakan-rakan artis ini saya tidak mahu komen sebab takut mengguris hari mereka.

“Pada saya, yang faham keadaan dan masalah sebenar itu adalah mereka sahaja. Mereka saja tahu kebenarannya. Kita sebagai orang yang melihat dan mendengar ini tidak boleh bercakap apa-apa. Doakan yang terbaik,” katanya.

Sedar dirinya juga berasal dari keluarga yang pernah melalui masalah sama, pelakon filem Pilot Cafe itu mengakui dia mula menuntut ilmu rumah tangga selepas berkahwin.

Malah, dia juga bersyukur dikurniakan seorang suami yang tidak pernah putus asa mengajar dan membimbingnya untuk menjadi seorang isteri yang baik mengikut syariah.

“Banyak yang saya belajar. Mungkin sebab saya juga datang dari keluarga yang berpecah belah. Jadi, saya tak banyak belajar depan mata. Tapi, banyak yang diajar oleh suami saya. Contoh, macam mana nak meletakkan seorang isteri itu dalam aras rumah tangga.

“Walaupun kita seorang yang dikenali, ada perniagaan, ada nama ke kuasa ke, siapa kita bila kita dah melangkah masuk rumah itu lebih penting. Kalau tidak boleh bezakan benda itu susah, mungkin akan jadi panas dan lebih kuat melawan dan sebagainya,” jelasnya.

HORMAT JADIKAN RUMAH TANGGA LEBIH BAHAGIA
Ditanya mengenai apa antara ilmu yang diajar oleh Haris yang mesra disapa PU Riz, Neelofa memberitahu suaminya itu sering menekankan cara pertuturan yang betul sebagai seorang isteri.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, secara tidak langsung ilmu tersebut mengajarnya untuk lebih menghormati suami dan tidak terdorong dari tercetusnya sebarang konflik.

“Cara saya bercakap, cara saya menjawab, bergurau semua itu berbalik kepada rasa hormat saya kepada suami. Kita tak boleh bergurau dengan dia seperti kawan atau kenalan. Dia ada satu template yang berbeza macam cara kita hormat ibu bapa kita.

“Bila disulamkan dengan hormat, baru kita boleh bezakan cara percakapan. Lelaki perlukan itu. Bila mereka tidak rasakan hormat dalam rumah tangga, dalam hubungan suami isteri. Itu yang menyebabkan masalah akan timbul,” katanya.

Meskipun dirinya lebih dikenali berbanding suaminya, Neelofa mengakui pemahaman yang mendalam mengenai ilmu rumah tangga juga membuatkan dia sedar akan kedudukannya sebagai seorang isteri di sisi seorang suami.

“Ini juga pengajaran untuk saya. Saya berkahwin di umur 31 tahun. Kalau orang yang kahwin awal itu mungkin lebih mudah untuk mereka. Tapi sebab saya sudah lama dalam kehidupan yang bukan dalam perkahwinan, untuk kita tukarkan pemahaman itu mengambil masa.

“Tapi Alhamdulillah, saya ada seorang suami yang sentiasa tidak putus asa tunjuk ajar dan menasihat perkara sama. Kalau bukan sebab penat lelah usaha dia itu, saya pun mungkin tidak akan faham dan takkan boleh buat,” jelasnya.

Ditanya mengenai doa yang sering diamalkan sepanjang berkahwin, Neelofa memilih untuk merahsiakan dan tidak berkongsi secara spesifik selain memohon agar menjadi isteri yang terbaik di sisi-Nya.

“Saya dan Haris ada doa untuk antara sama lain. Saya rasa semua suami isteri ada doa untuk pasangan mereka. Tapi saya banyak doa ke atas diri sendiri supaya menjadi seorang isteri yang lemah lembut, pandai menyusun ayat dalam percakapan, isteri yang mudah untuk memohon maaf.

“Kita perempuan kan ego dan emosi. Itu antara benda yang saya nak perbaiki dari masa ke semasa. Kami juga nak jadi ‘role model’ kepada anak-anak,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya