Saya dan Afieq, doakan yang baik-baik - Wani Kayrie - Utusan Malaysia

Saya dan Afieq, doakan yang baik-baik – Wani Kayrie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak mengiyakan mahupun menafikan, penyanyi Wani Kayrie mengakui status hubungannya bersama pelakon, Afieq Shazwan hanyalah kawan rapat sejak kecil.

Ambil maklum dengan luahan Afieq yang menyatakan dia sedang menunggu cinta Wani, penyanyi lagu Aiman Tino itu berharap orang ramai mendoakan yang baik-baik.

“Dia rakan baik saya. Kami berkawan dari kecil. Kalau orang suka melihat kami bersama dan rapat, doa yang baik-baik saja. Kita tidak tahu perjalanan karier kami macam mana, kami berdua dalam industri yang sama, cari makan, buat lagu dan menyanyi.

“Saya pelik bila ada orang ingat kami ‘sesuatu’. Tapi bagi saya, biarlah orang melihat kami dari sudut yang baik. Kami terima dengan hati yang terbuka.

“Kami berdua masih rapat hingga hari ini. Selebihnya saya tidak boleh komen panjang sebab kenyataan itu daripada Afieq. Doa yang baik-baik saja. Fokus utama saya sekarang adalah kerjaya saya,” katanya.

Wani berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video lagu terbaharunya, Aiman Tino, di sini, semalam.

Ditanya sama ada dirinya terbuka untuk bercakap soal cinta, Wani menganggap dirinya masih terlalu muda dan hanya mahu memberikan perhatian sepenuhnya terhadap kerjayanya.

“Kalau saya sendiri, saya rasa saya masih muda dan masih terlalu awal nak bercakap tentang cinta. Jadi, saya rasa belum masa dan belum terbuka lagi untuk bercakap soal cinta.

“Sekarang fokus saya pada keluarga, ibu saya juga kurang sihat, pada diri saya, saya mahu tumpukan perhatian kepada semua yang menantikan kehadiran karya saya. Bagi saya, ini adalah kerjaya yang saya nanti-nantikan selama lebih daripada 10 tahun.

“Untuk saya berada di sini tidak mudah dan sebab itu saya masih menepis apa-apa tentang percintaan, perhubungan dan sebagainya. Saya rasa benda itu kalau jodoh, dia akan datang juga,” jelasnya.

Wani bagaimanapun mengakui dia selesa dan kerap berkongsi perjalanan seninya bersama Afieq malah saling menghormati pendirian antara satu sama lain.

“Ya, dia mengetahui kehendak saya yang mahu fokus dalam kerjaya. Kami saling berkongsi, menghargai dan menghormati pendirian masing-masing. Kami masih perlu hormati karier antara satu sama lain juga walaupun berbeza syarikat rakaman,” katanya.

Sebelum ini, Afieq yang juga merupakan penyanyi lagu Rindunya Rindu memberitahu dia tidak menantikan cinta wanita lain selain Wani menerusi sebuah sesi temu bual.

Dalam sesi temu bual tersebut, Afieq juga menghormati keputusan Wani sekiranya dia lebih selesa berkawan rapat demi mengekalkan hubungan baik dengan penyanyi wanita itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya