PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Amir Jahari, belum sedia mengadakan konsert tunggal walaupun pernah menerima tawaran daripada beberapa penganjur.
Jelas Amir atau Mohamad Amirullah Jahari, 32, peluang mengadakan konsert akan kembali dipertimbangkan selepas penyanyi itu berjaya menghasilkan lima album.
“Memang ada pihak yang tawarkan peluang mengadakan konsert. Jika melihat kepada statistik jualan ‘showcase’ sebelum ini, memang ada jaminan dalam 1,600 orang akan datang dan beli tiket.
“Saya cuma bersifat realistik. Saya hanya mempunyai tiga album dan empat lagu hit sahaja. Takkan saya mahu orang datang konsert saya dengan empat lagu itu?
“InsyaAllah saya akan adakan konsert jika sudah mempunyai lima album,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bergerak sendiri tanpa dinaungi mana-mana syarikat, juara Anugerah Juara Lagu ke-38 mengakui dia perlu bijak merangka strategi untuk memastikan karyanya sampai kepada pendengar.
“Dalam berkarya saya ada jalan sendiri yang mana bukan indie, bukan juga arus perdana. Saya anggap muzik sebagai kerjasama dalam perniagaan.
“Oleh itu, saya perlu tambah ilmu dan belajar selok belok pemasaran selain mempunyai pasukan yang boleh membantu kembangkan kerjaya,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Amir kini berada di Jakarta, Indonesia untuk rangka promosi album terbarunya, Kembali serta video muzik Aku Rindu di beberapa radio.
Album yang memuatkan 15 lagu itu menceritakan perjalanan panjangnya sepanjang 13 tahun sebagai penyanyi. -UTUSAN