Saya akan saman, kenyataan itu melampau batas - Shuib - Utusan Malaysia

Saya akan saman, kenyataan itu melampau batas – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – “Saya akan saman seorang pengguna TikTok yang melampau batas memberi komen.”

Demikian kata pelawak dan usahawan, Shuib yang nekad untuk mengambil tindakan saman terhadap seorang pengguna aplikasi TikTok yang dakwanya telah membuat kenyataan palsu melibatkan pemilikan syarikatnya, Bubblebee Sdn Bhd (Bubblebee).

Shuib atau nama lengkapnya Shahmira Muhamad, 40, mengakui kesal dan menyifatkan tuduhan tidak berasas individu terbabit mampu mengakibatkan syarikatnya kerugian jutaan ringgit.

“Sekiranya seseorang itu ingin bercakap soal pengasas sesebuah produk, fikirlah terlebih dahulu apa kesan yang akan berlaku kepada individu itu dan juga jenamanya.

“Jika kesannya tidak baik dan boleh mendatangkan kerugian, perkara itu tidak adil untuk saya dan syarikat memandangkan tuduhan tersebut tidak berasas. Saya boleh tampil dengan fakta yang kukuh. Perniagaan saya ini melibatkan pelabur dan urusan perniagaan yang mencecah jutaan ringgit.

“Jika kenyataan dia itu boleh menyebabkan kerugian berjuta ringgit, saya akan ambil tindakan. Bukan hendak memberi pengajaran kepada orang lain, tetapi kepada pelaku suapaya dia tidak anggap kenyataan di media sosial itu sebagai perkara main-main,” katanya.

Shuib berkata demikian ketika ditemui dalam majlis sidang media Bocey Comeback Live In Singapore di sini semalam.

Dalam masa sama, Shuib juga menepis dakwaan syarikatnya hanya didominasi oleh pengarah bersama yang berbangsa Cina kerana dia merupakan pemegang saham terbesar untuk perniagaan tersebut.

“Apabila ada individu yang mengeluarkan kenyataan ‘type-C’, pada saya itu tidak patut. Adakah individu itu cuba menggunakan elemen perkauman? Adakah menjadi kesalahan besar apabila ada pengarah berbangsa lain dalam sebuah syarikat?

“Saya sudah biasa melalui perkara sebegini di mahkamah dan selalunya mereka yang terlibat akan tertunduk malu dan bercakap dalam keadaaan terketar-ketar. Saya tidak mahu melakukan perkara sebegini, tetapi sekiranya saya tidak bertindak, mereka akan fikir mereka adalah golongan bijaksana dalam berkata-kata.

“Apa yang ingin saya tegaskan ialah syarikat ini dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera kerana saya adalah pemegang saham terbesar. Jadi, hati-hati apabila bercakap kerana saya perlu ambil tindakan apabila kenyataan itu boleh menggugatkan perancangan perniagaan saya,” katanya.

Shuib yang merupakan pemegang saham terbesar syarikat Bubblebee Sdn Bhd pada Khamis lalu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 18 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sepanjang tahun lalu.

Shuib dan pengarah bersama Koh Choon Guan, 33, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Majistret Shah Alam telah mendenda kedua-dua pengarah bersama itu sebanyak RM17,500 di atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu.

Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya