KUALA LUMPUR: Sarjan Mohd. Nor Khalid dinaikkan pangkat Staf Sarjan sebagai tanda penghargaan atas sifat berani dan pantasnya menyelamatkan empat remaja lelaki daripada menjadi mangsa lemas pada 24 November lalu.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, insiden itu seharusnya menjadi inspirasi buat semua pihak kerana setiap orang mempunyai tanggungjawab membantu antara satu sama lain.
Katanya, kenaikan pangkat tersebut bukan sahaja sebagai tanda menghargai tetapi jumlah pendapatan turut meningkat.
“Tentera Darat amat bangga atas tindakan pantas dan beraninya yang tidak menghiraukan keselamatan diri sendiri demi menyelamatkan orang lain yang lebih memerlukan.
“Sarjan Mohd. Nor Khalid telah berkhidmat hampir 20 tahun dan menamatkan perkhidmatan pada tahun hadapan. Kami kehilangan salah seorang yang berjiwa besar,” katanya dalam Majlis Pemakaian Pangkat Sarjan Mohd. Nor Khalid di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan tindakan pantas seorang anggota tentera menyelamatkan empat remaja daripada lemas selepas sampan dinaiki mereka ketika memancing, karam di sebuah tasik di Puncak Alam.
Dalam pada itu, Mohd. Nor memberitahu, semasa kejadian, dia bertindak segera kerana tidak mahu perkara buruk berlaku dalam tempoh 45 minit menunggu pasukan penyelamat tiba.
Katanya, kedalaman tasik mencecah lima meter, dia mengambil risiko menyelamatkan mangsa itu kerana memahami perasaan sebagai seorang bapa.
“Pengalaman saya berenang bukan sahaja hasil latihan ketenteraan, tetapi juga sejak kecil saya selalu main air di Sungai Perak berhampiran rumah.
“Jati diri yang lebih kental ini membantu saya menghadapi cabaran, walaupun anak dan isteri saya ketakutan dengan kemungkinan kehilangan saya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Nor berkata, tasik itu pernah mencatatkan insiden kematian tahun lalu, menjadikannya berisiko tinggi.
“Jadi, saya selamatkan mangsa dari tebing paling dekat, yang berjarak kira-kira 25 hingga 30 meter dari lokasi mangsa.
“Saya turut bangga sebab dapat harumkan nama Tentera Darat, lebih-lebih lagi apabila menerima anugerah ini walaupun saya tidaklah mengharapkannya,” ujarnya. – UTUSAN