Saksi lihat beberapa pelajar 'rem' motosikal sebelum kejadian langgar Zaharif - Utusan Malaysia

Saksi lihat beberapa pelajar ‘rem’ motosikal sebelum kejadian langgar Zaharif

MOHD. Nazri Abdul Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Saksi pendakwaan ke-13 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia melihat beberapa pelajar sekolah ‘rem’ (memulas pendikit) motosikal sebelum kejadian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie dilanggar kereta Perodua Ativa.

Menurut suri rumah, Zuraida Hassan, 46, kumpulan pelajar berkenaan juga dilihat berpusing-pusing di kawasan sekitar antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dan Masjid Muhammad Al Fateh.

Katanya, kejadian tersebut disaksikan ketika dia berada di dalam kereta yang diparkir di bahu kiri jalan di simpang tiga Taman Jati semasa mahu mengambil anak lelakinya pulang dari sekolah.

Athimulan: Merujuk perenggan dua (penyataan bertulis), nampak beberapa pelajar sekolah sedang rem motosikal dan berpusing-pusing. Berapa ramai yang rem?
Zuraida: Ramai.

Athimulan: Berapa orang?
Zuraida: Tujuh ke lapan orang.

Athimulan: (Motosikal) pusing-pusing ke mana?
Zuraida: Simpang ke bawah, kemudian simpang ke masjid.

Athimulan: Semua motosikal itu rem ke?
Zuraida: Ya.

Athimulan: Dari masjid ke sekolah dan patah balik?
Zuraida: Ya

Athimulan: Berapa kali mereka pusing?
Zuraida: Tidak pasti, tapi banyak kali.

Zuraida berkata demikian ketika disoal balas peguam bela, M. Athimulan dalam perbicaraan kes bunuh Muhammd Zaharif Affendi, 17, membabitkan pegawai polis, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Zuraida berkata, ketika berada di dalam kereta, dia melihat sebuah kereta Perodua Ativa berwarna putih datang dari arah sekolah menuju ke arah masjid melepasi sebelah kanan kereta jenis Mitsubishi Triton yang dipandunya.

Katanya, semasa dia sedang bercakap di telefon bimbit, dia melihat pada cermin sisi kenderaan sebuah motosikal diekori sebuah kereta berwarna putih yang datang dari arah masjid.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman, kemudian saya nampak
kereta Ativa dalam keadaan laju melepasi kereta saya setelah melanggar sesuatu.

“Saya juga nampak buku serta barang-barang bertaburan manakala seorang budak lelaki dilihat terbaring di atas jalan raya. Saya terus turun dari kereta dan menghubungi talian 999,” katanya.

Menjawab soalan Afzainizam sama ada Zuraida mengenali mangsa, wanita itu memberitahu tidak tahu dan hanya tahu nama remaja itu selepas perlanggaran apabila keadaan di lokasi kejadian kecoh dan pelajar di sana menyebut nama Zaharif.

Tambahnya, dia juga telah menyerahkan kad memori papan pemuka kenderaan yang mengandungi rakaman asal kejadian kepada pihak polis pada 17 Disember 2023 dan menafikan ada membuat suntingan pada rakaman tersebut.

Perbicaraan disambung esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya