KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Agung Perancis yang menolak sepenuhnya cabaran perundangan yang difailkan oleh sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau menyambut baik berita gembira yang dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melalui akaun media sosialnya.
“Kami ingin menegaskan bahawa kita tidak mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah kerana ini adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap komitmen kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Azalina atas usaha mereka untuk membatalkan Award Akhir oleh penimbang tara Sepanyol tersebut.
Azalina dalam paparan media sosial menggambarkan keputusan itu sebagai satu kemenangan bersejarah dan signifikan bagi negara.
Semalam, Mahkamah Agung Perancis telah menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Melalui hantaran dalam laman Facebooknya, Azalina menyifatkan ia adalah satu keputusan bersejarah yang menyebelahi Malaysia dalam kes ini.
Katanya, keputusan penting ini bermakna asas awal bagi Award Akhir palsu yang mengarahkan Malaysia membayar AS$15 bilion (RM660 bilion) tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.- UTUSAN