KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Majlis Tenaga Sabah telah melantik tiga syarikat tempatan bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan dalam pembangunan teknologi Penukaran Tenaga Termal Lautan (OTEC).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, OTEC yang merupakan unsur tenaga boleh diperbaharui yang memanfaatkan perbezaan suhu di antara air laut dalam dan permukaan air laut untuk penjanaan tenaga elektrik.
Kata beliau, dengan pembangunan teknologi tersebut, ia akan membolehkan Sabah menghasilkan 20,000 megawatt (MW), iaitu 15,000 MW di kawasan pantai barat dan 5,000 MW di pantai timur Sabah.
“Syarikat-syarikat tersebut diberikan tempoh masa setahun untuk memuktamadkan kajian kebolehlaksanaan tersebut. Hasil kajian itu akan diusulkan semula kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan dan kelulusan,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau menjawab soalan ADUN Dilantik, Datuk Serri Yong Teck Lee mengenai perkembangan OTEC sejak Akta tersebut diluluskan dan adakah pelabur sedia membangunkan OTEC di Sabah.
Menurutnya, lantikan syarikat-syarikat itu dibuat lanjutan daripada kelulusan Majlis Tenaga Sabah dan surat anugerah bersyarat (CLOA) pula dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ECos).
Kata beliau, pihak ECoS juga telah menerima minat daripada syarikat asing dari Australia dan United Kingdom untuk membangunkan OTEC di Sabah dan cadangan itu masih dikaji.
Hajiji berkata, kajian kebolehlaksanaan awal juga sedang dijalankan oleh pihak UTM OTEC melalui kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi tujuan pembangunan projek perintis loji OTEC di Sabah.
Projek perintis itu akan dibiayai Shell melalui Program Tenaga Boleh Diperbaharui Marin (MRE) yang dijangka siap pada akhir tahun ini. – UTUSAN