KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan pemberian bantuan khas bulanan RM300 selama setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar di bawah program Sentuhan Kasih Rakyat.
Bantuan khas yang julung-julung kalinya diperkenalkan itu antara inisiatif di bawah Program Pembasmian Kemiskinan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan perkara itu dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2025, di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau berkata, pemberian bantuan bulanan sepanjang tempoh setahun itu melibatkan peruntukan RM358.5 juta. Bantuan itu diharap dapat mengurangkan bebanan kewangan golongan miskin dan miskin tegar.
Katanya, penetapan gaji minimum bagi sektor swasta akan mengakibatkan harga barang meningkat secara mendadak dan keadaan itu akan memberi kesan khususnya kepada mereka yang bekerja sendiri seperti petani, nelayan, penjaja dan yang tidak mempunyai pekerjaan serta pendapatan tetap.
“Oleh itu, bagi mengurangkan tekanan sara hidup lebih tinggi buat julung kalinya pada tahun depan Kerajaan Sabah akan menyantuni golongan yang terkesan dalam kategori miskin dan miskin tegar yang telah dikenal pasti menerusi Sentuhan Kasih Rakyat dengan bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama setahun.
“Bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan dan memberi ruang dalam tempoh tertentu untuk mereka menyesuaikan diri dan mencari ikhtiar baharu untuk menambah pendapatan,” katanya.
Dalam pada itu, Masidi turut mengumumkan bantuan khas kewangan atau bonus sebulan gaji dengan minimum RM3,000 kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri Sabah sama ada
Bantuan khas kewangan atau bonus sebulan gaji atau minimum RM3,000 kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri Sabah termasuk berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian.
Jelas beliau, bayaran bantuan khas kewangan itu melibatkan seramai 18,949 orang dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada bulan Januari 2025.– UTUSAN