KUALA LUMPUR: Komposer terkenal, Datuk S. Atan disahkan meninggal dunia sekitar pukul 3.23 petang tadi akibat sesak nafas.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Kajang, dekat sini dalam keadaan tenang disamping isteri dan anak-anaknya.
Pemergian komposer berusia 75 tahun itu disahkan menantunya, Shazana Darwin yang memaklumkan arwah sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan tersebut.
“Jenazah kini berada di rumah. Kami masih menanti kedatangan anak-anaknya dari Singapura dan esok, proses pengebumian akan segera dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Shazana, Allahyarham sekitar dua bulan lepas mengalami jangkitan paru-paru dan dimasukkan ke Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru.
“Arwah alami batuk berterusan dan kesihatannya merosot. Dia selepas keluar hospital, banyak duduk di rumah. Selera makannya juga berkurangan. Sampaikan kami panggil doktor periksa keadaannya.
“Tapi Allah takdirkan arwah pergi petang tadi, disamping anak-anak dan isteri berada di rumah,” katanya.
S. Atan atau nama sebenarnya Datuk Hashim Said merupakan komposer dan penulis lagu prolifik yang telah menghasilkan lebih 1,000 lagu.
Komposer yang terkenal sebagai Bapa Lagu Raya itu juga terkenal menerusi lagu-lagu Aidilfitri ciptaannya seperti Dari Jauh Ku Pohon Maaf dan Balik Kampung (Datuk Sudirman), Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah), Hari Mulia (Datum Sheila Majid dan banyak lagi.