NASKHAH yang baik bukan hanya memberikan hiburan, namun turut menyediakan subteks membahaskan sesuatu yang lebih besar. Menerusi temu bual eksklusif bersama pelakon Amerika Selatan iaitu Ryan Eggold dan Eloise Mumford, mereka membincangkan bagaimana sebuah skrip boleh bertindak menjadi katalis- menyuarakan isu masyarakat minoriti di negaranya.
Kedua pelakon ini muncul menerusi siri drama Cross menceritakan perjuangan seorang detektif berkulit hitam, Alex Cross yang mencari dalang pembunuhan isterinya. Ini bukan kisah thriller biasa, tapi pertembungan moral dan stereotaip terhadap golongan berkulit hitam.
Menurut Ryan, penulis skrip, Ben Watkins berhati-hati membahaskan isu sensitif sebegini dengan bijak mengimbangi cara penyampaian juga putaran plot agar tidak terasa dibuat-buat.
“Penting untuk kita menggunakan platform yang ada bagi mengutarakan suara dan cerita mereka yang tertindas.
“Saya percaya dengan gambaran watak kompleks dan jujur ini boleh membantu memerangi rasa prasangka dan stereotaip terhadap kelompok masyarakat tertentu,” katanya.
Senada dengan Ryan, Eloise Mumford turut menekankan pentingnya untuk turut melibatkan pelakon daripada pelbagai latar belakang untuk mengisi senarai bakat di hadapan layar.
“Saya rasa usaha untuk menyokong dan mengajar bakat baharu khususnya daripada golongan marginal sangat diperlukan.
“Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu mereka semua mencapai impian tertinggi mereka.
“Dengan menyediakan peluang dan membawa kisah mereka ke layar, kita berharap akan menciptakan persekitaran lebih adil di dalam industri ini,” tambahnya.
Bercakap lebih lanjut tentang drama Cross, selain dari menawarkan eskapism, sebuah karya yang berjaya juga mempunyai kemampuan untuk menyentuh jiwa penonton dengan perasaan kasih sayang yang dimainkan pelakon sepanjang drama bersiaran.
“Perkara besar yang dibawa dalam naskhah ini ialah tentang hubungan kita sesama manusia. Bagaimana dengan sifat kasih sayang boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Contohnya, dalam cerita ini Cross yang baru kehilangan isteri. Sudah tentu kesihatan mentalnya terganggu.
“Namun bagaimana dia tetap menjadi seorang detektif yang baik dan mahu melindungi anaknya untuk membesar dalam keadaan yang selamat.
“Semoga ia akan membuatkan lebih ramai orang membincangkan tentang kesihatan mental dengan lebih terbuka,” jelasnya.
Tambah Eloise lagi, tidak hanya plot, malah Cross musim kedua menjanjikan skrip yang mengajak penonton untuk memulakan diskusi secara sihat tentang perbezaan etnik dan budaya.
“Cerita ini bukan mahu berceramah atau mengajar anda. Tapi mengajak penonton untuk memulakan perbualan mengenai kepelbagaian budaya.
“Itulah ‘seni’ dalam naskhah ini dan bangga menjadi sebahagian daripada projek ini,” tambahnya.
Cross ditayangkan menerusi Amazon Prime bermula 14 November lalu.