PUTRAJAYA: Pelan Adaptasi Kebangsaan, kerangka pasaran karbon dan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim akan dibentang menjelang suku pertama sesi Parlimen tahun hadapan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketika ini kementeriannya sedang melaksanakan kajian untuk merangka pelan dan undang-undang berkenaan.
Katanya, pihak kementerian turut menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan serta menghasilkan kertas perundingan untuk pandangan awam sehingga 18 November ini.
“Untuk Malaysia berkembang maju dan mengekalkan daya tahan iklim, tadbir urus memainkan peranan yang penting dan kami kini sedang mengusahakan rang undang-undang perubahan iklim.
“Semua pihak sebenarnya boleh pergi ke laman web kami dan melihat draf pada beberapa kertas supaya boleh mendapatkan pandangan daripada sektor swasta serta orang ramai.
“Kami berharap dapat membantangkan (Pelan Adaptasi Kebangsaan, kerangka pasaran karbon dan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim) di Parlimen menjelang suku pertama tahun depan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Peta Hala Tuju Lestari IOI 2030 (ISR 2030) di sini hari ini.
Pelan Adaptasi Kebangsaan, kerangka pasaran karbon dan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim dapat membuka peluang baharu kepada sektor perniagaan menembusi pasaran antarabangsa yang menitikberatkan aspek kelestarian alam.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, pada sesi townhall yang berlangsung Julai lalu, sebanyak 30 universiti dan institusi penyelidikan tempatan menyatakan sokongan padu terhadap penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC).
Jelasnya, NRES telah mengemukakan permohonan bajet pembangunan berjumlah RM140 milion bagi membangunkan MBC bagi tempoh empat tahun.
“Sejak 1998, kerajaan telah bercakap tentang mempunyai pusat biodiversiti Malaysia untuk menguruskan koleksi saintifik dan pangkalan data biodiversiti.
“Kita perlu mempunyai muzium sejarah alam kita sendiri untuk mempamerkan kekuatan kita dan berharap MBC serta muzium sejarah alam dapat menjadi kenyataan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, MBC akan dibangunkan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur sebagai pusat kecemerlangan bermula tahun hadapan dan dijadual beroperasi menjelang 2023, ia bertujuan mengukuhkan pengurusan kepelbagaian biologi merentas sektor. – UTUSAN