RUU Mufti: Jangan salah tafsir Perlembagaan

RUU Mufti: Jangan salah tafsir Perlembagaan

Ahli Parlimen turut menggesa kerajaan campur tangan dalam isu kenaikan insurans.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dakwaan bahawa Rang Undang-Undang Mufti ( Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024 tidak berperlembagaan atas alasan bertentangan peruntukan Perkara 3(5) adalah khilaf dan mengabaikan peruntukan lain yang perlu dibaca bersama serta ditafsirkan secara menyeluruh.

Pengamal undang-undang, Zainuddin Omar berkata, peruntukan mengenai penubuhan Majlis Agama Islam untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengenai perkara berhubung agama Islam  tidak boleh ditafsirkan secara terpisah dan berasingan.

Beliau menjelaskan, semua peruntukan yang berkaitan dengan isu yang dibincangkan hendaklah diberi pemberat yang sama, serupa dan tidak diketepikan.

“Begitu juga halnya daripada konteks kedudukan Mufti yang sudah wujud sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal juga perlu diambil kira.

“Perkara 3(5) itu memperuntukkan kuasa kepada Parlimen untuk boleh membuat peruntukan-peruntukan melalui undang-undang termasuk RUU Mufti bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam, dan bukan hanya sekadar menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati YDPA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk Komentar ADUN dari DAP, Datuk Teng Chang Khim berhubung empat alasan mengapa RUU Mufti perlu digugurkan dalam sebuah portal berita hari ini.

Zainuddin yang juga Ketua Sekretariat Kor Akwam 181 berkata, penggubalan undang-undang diri orang Islam adalah di bawah kuasa negeri, iaitu melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan pula kuasa tersebut terletak pada Parlimen.

Katanya, Butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan memperuntukkan bahawa bagi Wilayah-wilayah Persekutuan, Parlimen boleh menggubal undang-undang ‘penentuan perkara mengenai hukum syarak, doktrin agama dan adat Melayu’.

Pada masa sama, jelasnya, Perkara 11(3) dan 12(2) memperuntukkan antara lain, bahawa tiap-tiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri termasuklah menubuh dan menyelenggarakan institusi bagi maksud agama dan khairat.

“Justeru berdasarkan peruntukan tersebut Negeri (Wilayah Persekutuan) boleh menubuhkan institusi yang bertanggungjawab dalam penentuan persoalan yang menyentuh Hukum Syarak.

“Penubuhan Jawatankuasa Fatwa bagi maksud sedemikian adalah tidak bertentangan dengan Perlembagaan. Dalam kata lain, peruntukan klausa 4(1) RUU perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara 3(5) secara harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tujuan utama penggubalan RUU Mufti ialah untuk mengadakan pemisahan fungsi kuasa secara jelas antara Jabatan Agama Islam yang menguruskan pentadbiran eksekutif,  Mahkamah Syariah yang mentadbir keadilan dan Jawatankuasa Fatwa yang membuat penentuan Hukum Syarak dari aspek undang-undang diri orang Islam.

Katanya, dakwaan kuasa Mufti mengatasi Agong seperti dibangkitkan, adalah dijelaskan bahawa fungsi seorang Mufti untuk menasihati YDPA tidak menjadikannya lebih tinggi daripada baginda.

“Fungsi menasihati YDPA ini merupakan suatu fungsi yang telah sedia wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, waima dalam Perkara 3(5) sendiri.

“Bahkan fungsi nasihat jemaah menteri dalam menasihati YDPA juga wujud dalam Perkara 40 PP, dan ia tidak menjadikannya lebih tinggi dari YDPA sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan.

“Tiada mana-mana peruntukan RUU Mufti yang mengurangkan kuasa YDPA seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Malah dalam RUU Mufti, keperluan Mufti bagi perkenan YDPA mewartakan suatu fatwa tidak menafikan kedudukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pihak berkuasa agama untuk menasihati baginda dalam semua hal ehwal agama Islam yang terjumlah dalam Butiran 1 Senarai II, Jadual Kesembilan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN