PUTRAJAYA: Semua pihak diminta menghormati langkah kerajaan bagi menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan dalam usaha mengangkat martabat dan kedudukan institusi mufti.
Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Abu Suffian Abu Yaziz berkata, langkah penggubalan RUU itu sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan akta yang berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Dalam hal ini, PPSM menolak sebarang desakan mana-mana pihak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan meletakkan jawatan hanya disebabkan perbezaan pendekatan ijtihad dan khilaf pandangan terhadap segelintir pihak dalam memuktamadkan isu ini.
“Sewajarnya perbezaan ini menjadi adab yang perlu disantuni lebih-lebih lagi dalam merapatkan jurang perbezaan, kecelaruan pemikiran, fahaman dan iktikad dalam kalangan umat Islam mutakhir ini.
“Sebagai sosok yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran Islam, kehakiman, perundangan syariah, pengurusan haji, umrah dan lain-lain, desakan sedemikian bukanlah suatu amalan yang sihat dan profesional dalam pengurusan dan kepemimpinan organisasi.
“Ia melainkan jelas perkara tersebut melibatkan isu pelanggaran tatakelola atau terbukti tidak kompeten,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin menyarankan agar Mohd Na’im digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat ditangani dengan lebih baik.
Malah menurut Abu Hafiz, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang ‘lebih baik’ dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Abu Suffian berkata, RUU Mufti Wilayah Persekutuan dilakukan berdasarkan lunas undang-undang sedia ada seperti mana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, PPSM menasihati semua pihak segera menghentikan tindakan menghasut dan menanam kebencian umat Islam terhadap kedudukan Menteri dan Mufti Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab dan jelas sedang melaksanakan gagasan Pelan Transformasi al-Falah dalam pentadbiran Islam syariah dan pentadbiran hal ehwal Islam.
“Kembalikan semula sifat tasamuh dan adab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat Madani serta ketepikan andaian yang bersifat dangkal dan sempit.
PPSM mendukung prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam menyantuni adabul ikhtilaf seperti mana diamalkan oleh Salafus Soleh dalam meletakkan kedudukan syariat Islam dan menterjemahkan amal Islami yang mulia dan berkeperibadian tinggi,” katanya. – UTUSAN