KOTA KINABALU: Perbincangan rasmi mengenai rakan kerjasama Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dijangka dilakukan sebelum Mac tahun depan.
Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Sabah, Datuk Peto Galim berkata, rundingan rasmi hanya akan dibuat selewat-lewatnya Mac tahun depan dengan pada masa ini, semua pihak mula bercakap tentang kerjasama.
Katanya, perbincangan tidak rasmi dan cerita-cerita kedai kopi memang ada namun, perbincangan secara rasmi antara PH dan parti atau gabungan lain masih belum ada.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam berkata, pada masa ini, mereka memberi fokus kepada rundingan kerusi di peringkat PH terlebih dahulu dan agihan kerusi itu dijangka dimuktamadkan sebelum hujung tahun ini.
“Kita belum menerima pelawaan daripada mana-mana parti untuk mengadakan perbincangan secara rasmi mengenai kerjasama mahupun agihan kerusi, namun, di dalam PH, kita telah melantik ketua-ketua perunding yang mewakili setiap parti untuk berbincang mengenai kerusi yang ingin ditandingi,” katanya semasa sidang akhbar di Pejabat PKR Sabah, semalam.
Peto yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, PKR akan mempertimbangkan calon wanita dan muka-muka baharu untuk bertanding pada PRN17, namun, jika dilihat pada masa ini penyertaan wanita dalam PKR agak terbatas maka, mereka akan melihat keperluan untuk meletakkan lebih ramai calon wanita untuk bertanding.
Ujarnya, pertimbangan meletak ramai calon wanita bergantung kepada jumlah kerusi yang diberikan kepada PKR dan pada masa ini, daripada sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi PH pada PRN 2020, PKR hanya mempunyai dua kerusi iaitu Inanam dan Api-Api yang disandang oleh Datuk Seri Christina Liew. – UTUSAN