SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak termasuk wakil pembeli bagi menyelesaikan isu projek Rumah Selangorku Sentoria Morib di Kuala Langat yang masih lagi terbengkalai.
Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat melibatkan wakil syarikat pemaju, Seriemas Development Sdn. Bhd. (Seriemas Development), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
“Hanya beberapa peratus projek rumah teres yang masih tidak siap dan sebahagian yang terbengkalai adalah kediaman jenis apartment.
“Kita tidak akan lepas tangan berhubung projek itu dan akan pastikan projek Rumah Selangorku Sentoria Morib siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Anugerah Laman Hijau Strata Negeri Selangor Tahun 2024, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan rintihan kira-kira 500 pembeli rumah dan pangsapuri projek Rumahku Sentoria Morib masih menunggu kediaman mereka siap, yang sepatutnya selesai pada 2020.
Susulan itu, bekas Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir telah turun padang bagi melihat sendiri keadaan projek berkenaan dan memaklumkan kementerian telah mengambil langkah untuk memastikan Projek Rumah Selangorku itu siap sepenuhnya.
Dalam pada itu, Borhan menjelaskan kerajaan negeri dan KPKT masih memberi masa kepada Seriemas Development untuk menyiapkan projek berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Seriemas Development dan PNB.
Menurutnya, kedua-dua syarikat itu menyatakan komitmen mereka untuk sedaya upaya menyiapkan projek berkenaan.
“Setakat ini, pihak PNB sudah datang berjumpa kita untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian projek ini. Kita tidak meletakkan garis masa, tetapi akan memastikan mereka siapkan semua unit yang terjejas,” jelasnya. – UTUSAN