SEMPORNA: Sembilan sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah didiami mereka tiba-tiba roboh dalam kejadian di Kampung Air di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba & Penyelamat (BBP) Atas Air Sempona, NoorJali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 1.11 petang dan sepasukan enam pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, menurut beliau, didapati sebuah rumah berkeluasan 30×30 di perkampungan atas air terbenam ke dalam air.
“Terdapat sembilan orang mangsa di dalam rumah yang roboh berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan kesemua mangsa selamat.
“Kesemua mangsa dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan sebagai penempatan sementara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi ditamatkan pada pukul 2.59 petang setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud. – UTUSAN