KUALA LUMPUR: Jumlah royalti yang diagihkan kepada Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu jauh lebih tinggi daripada diberikan oleh kerajaan sebelum ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bahkan, beliau berkata, jumlah terkumpul yang diberikan kepada keempat-empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang itu jauh lebih tinggi daripada jumlah diambil oleh kerajaan Pusat.
“Ini soal royalti, tetapi saya bagi angka. Untuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, jauh lebih tinggi dari tahun-tahun sebelumnya dan kalau dikumpulkan, lebih tinggi dari jumlah royalti kita (Kerajaan Persekutuan) ambil.
“Tetapi fakta itu kadang-kadang tak sampai di bawah sebab ini soal politiklah,” katanya dalam Sesi TownHall sempena majlis perasmian Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, di bawah pentadbirannya, beliau tidak pilih kasih dalam memberikan bantuan termasuk soal kemiskinan, pendidikan, kesihatan, kemudahan asas dan kerosakan.
“(Sebagai contoh) di Terengganu keruntuhan tebing Tasik Kenyir, (peruntukan) itu kita segerakan, tidak ada pertimbangan lain. Kalau ada keperluan RM200 juta lebih kita luluskan dalam tempoh segera.
“Bagi saya ini penting dalam memastikan keseimbangan (semangat federalisme) Persekutuan dan negeri demi keadilan sejagat,” katanya. – UTUSAN