KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan ulang tahun ke-30 dengan misi menawan puncak Gunung Kinabalu menerusi Program UMS Lambang Puncak Jaya.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, beliau bersama pelajar Kelab Robotik UMS tiba di puncak gunung dengan membawa robot ciptaan mereka yang mampu bergerak atas permukaan tidak rata mengibarkan bendera UMS.
Katanya, beliau bermalam di Laban Rata dan memulakan perjalanan seawal jam 2.45 pagi sebelum tiba di puncak kira-kira jam 6 pagi.
“Program yang disertai 30 staf dan pelajar ini simbolik kepada sambutan ulang tahun UMS ke-30 serta Majlis Konvokesyen UMS ke-26 yang akan berlangsung pada 7 hingga 10 Disember ini.
Turut serta, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr. Kamisan Pusiran; mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Roslan Abdullah serta kakitangan JHEP, anggota keselamatan, pasukan perubatan Hospital UMS, atlet UMS, dua pelajar OKU, dan seorang pelajar antarabangsa dari Jepun.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Robotik UMS, Mohd Ghazali Shafie Mohd Razalie berkata, beliau bangga mengetuai cabaran mengibarkan bendera UMS dengan robot ciptaan pelajar Fakulti Kejuruteraan (FKJ).
Katanya, robot tersebut menggunakan mekanisme suspensi rocker-bogie, versi ringkas daripada reka bentuk Mars Rover yang dibangunkan oleh NASA dan agensi angkasa lain untuk bergerak di permukaan tidak rata.
“Sistem ini dipilih kerana keupayaannya yang cemerlang untuk merentasi permukaan lasak sambil mengekalkan kestabilan.
“Reka bentuk ini membolehkan pergerakan bebas di setiap sisi, memberikan keupayaan mekanisme untuk menyesuaikan diri dengan permukaan yang tidak rata dengan fleksibiliti yang luar biasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Ghazali berkata, sistem ini mengagihkan beban secara sekata pada roda dan memastikan sentuhan konsisten dengan tanah selain membantu menyerap hentakan daripada halangan dan meningkatkan prestasi di kawasan lasak.
“Robot ciptaan tersebut lebih kos efektif, lebih ringan, dan mudah dibina serta ringan yang memudahkan mereka untuk mengangkut robot tersebut ke puncak gunung.
“Program ini diilhamkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk memupuk kerjasama warga universiti dalam menghadapi cabaran dan meraih kecemerlangan,” katanya. – UTUSAN