KOTA BHARU: Sebanyak RM445.748 juta diperlukan bagi merealisasikan pembinaan tembok dan zon penampan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini khususnya di tebing Sungai Golok melibatkan jarak 99 kilometer (km).
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, jumlah itu melibatkan pengambilan balik tanah di kawasan tersebut bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan tembok dan zon penampan direalisasikan.
“Cadangan pembinaan tembok dan zon penampan adalah amat relevan bagi tujuan keselamatan sempadan negara.
“Kelantan serius mahu menangani dan membanteras penyeludupan serta mengatasi masalah banjir di kawasan Sungai Golok,” katanya semasa berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK 13) yang turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, Kelantan berada di landasan tepat dalam menjayakan misi sebagai Jelapang Makanan Negara berdasarkan status Tahap Sara Diri (SSL) 2023.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam memastikan usaha negeri ke arah itu dapat dijayakan.
“Pengeluaran sumber makanan seperti beras adalah 124 peratus, kelapa (186 peratus), daging kambing serta bebiri (283.43 peratus). Manakala buah-buahan, sayuran serta ikan mencatatkan jumlah pengeluaran mengatasi jumlah penggunaan.
“Tambahan pula Kelantan telah menerima peruntukan sebanyak RM8.174 juta pada tahun ini bagi sekuriti makanan dan diharapkan pada tahun hadapan, berlaku peningkatan jumlah peruntukan yang sekali gus dapat merealisasikan misi Kelantan sebagai Jelapan Makanan Negara,” ujarnya.
Mohd. Nassuruddin berkata, Kelantan mencatat peningkatan 2.6 peratus nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2023, iaitu sebanyak RM27.6 bilion berbanding RM26.9 bilion pada tahun sebelumnya.
“Kerajaan negeri menyasarkan pertumbuhan nilai KDNK sebanyak RM50 bilion dalam tempoh 10 tahun yang memerlukan penumpuan khusus kepada sektor pembuatan dan industri pelancongan.
“Sehubungan itu faktor-faktor pendaya upaya dan pemboleh ubah perlu diambil tindakan sewajarnya. Natijah kepada insiatif dirangka membawa kepada peluang pekerjaan meluas, taraf hidup rakyat meningkat dan mampu membasmi kemiskinan di negeri ini,” ujarnya.- UTUSAN