RM10 juta bina stadium e-sukan

RM10 juta bina stadium e-sukan

AHMAD Zahid Hamidi dan Onn Hafiz Ghazi bergambar bersama-sama karakter watak mobile legends sempena menghadiri acara Peringkat Akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Separuh daripada peruntukan RM20 juta bagi e-sukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 akan diguna untuk pembinaan stadium e-sukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan stadium tersebut merupakan usaha kerajaan bagi menggalakkan industri e-sukan terus berkembang, manakala baki RM10 juta akan digunakan untuk latihan dan lain-lain aktiviti berkaitan e-sukan.

“Daripada jumlah RM20 juta itu, RM10 juta akan digunakan untuk bina stadium khusus untuk e-sukan, manakala bakinya untuk latihan dan aktiviti lain berkenaan e-sukan,” katanya selepas menghadiri acara Peringkat Akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, industri e-sukan tidak boleh dilihat sebagai sukan ‘indoor’ semata-mata, sebaliknya boleh dijadikan sebagai punca pendapatan pada masa depan.

“Semua pihak perlu memanfaatkan ekosistem e-sukan yang semakin berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 12.6 peratus, meningkat daripada RM26.4 juta pada tahun ini kepada RM54.5 juta menjelang tahun 2030.

“Industri e-sukan berpotensi besar untuk dikembangkan menerusi program khas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melibatkan kemahiran kewartawanan dan pengulas, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja-kerja teknikal,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut berharap Johor akan mengikuti langkah kerajaan negeri Sarawak menubuhkan pengajian TVET khusus buat bidang e-sukan menerusi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

Pada pertandingan akhir itu, seramai lebih 1,000 pengunjung hadir bagi menyaksikan perlawanan MPLMY antara Selangor Red Giants (SRG) dan Vamos (VMS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya