JAKARTA: Pasangan penyanyi, Rizky Febian dan Mahalini Raharja perlu melakukan pernikahan semula selepas Mahkamah Syariah Jakarta Selatan memutuskan perkahwinan mereka Mei lalu tidak sah.
Perkara itu berlaku kerana pasangan itu gagal memenuhi satu daripada rukun nikah sekaligus gagal memenuhi piawaian undang-undang negara.
“Daripada hasil pemeriksaan, majlis hakim mengambil keputusan bahawa pernikahan yang dilaksanakan tidak sah berikutan ada salah satu syarat, salah satu rukun nikah yang tidak terpenuhi.
“Salah satunya wali yang menikahkan bukan wali yang berhak.
“Jadi, kalau kita melihat latar belakang Mahalini seorang mualaf, kalau tidak salah, baru dua hari.
“Selepas mualaf dia nikah, orang tuanya bukan Muslim, di situlah, bererti walinya bukan orang tuanya,” kata jurucakap Mahkamah Agama Jakarta Selatan, H Suryana.
Susulan itu, Rizky dan Mahalini perlu bernikah semula dengan melantik wali yang sah iaitu ketua Pejabat Hal Ehwal Agama (KUA) tempatan.
Pada 31 Oktober lalu, pegawai Mahkamah Agama Jakarta Selatan mendedahkan perkahwinan Rizky dan Mahalini masih belum didaftarkan.
Difahamkan, Rizky dan Mahalini baharu menghantar permohonan pengesahan pernikahan mereka pada 10 Oktober lalu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 Mei lalu di Hotel Raffles, Jakarta. -UTUSAN