KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.2 juta untuk kos baik pulih ratusan rumah yang rosak akibat kejadian ribut akhir bulan lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika ini, kerja baik pulih kerosakan rumah penduduk masih berjalan dengan kemajuan antara 70 hingga 80 peratus.
Menurutnya, kebanyakan kerosakan yang dilaporkan adalah melibatkan bumbung dan atap rumah yang tercabut.
“Baik pulih bumbung ini tidak mengambil masa yang lama seperti kerosakan yang melibatkan struktur bangunan.
“Kejadian ribut yang berlaku itu memang melibatkan semua daerah namun dua daerah iaitu Dungun dan Kuala Nerus menerima kesan kerosakan yang minimum sahaja,” katanya selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Selain rumah kediaman, beberapa sekolah turut mengalami kerosakan akibat ribut yang berlaku kesan tempias Ribut Tropika Trami itu terutama di daerah Kemaman.
Antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Bukit Mentok, SMK Sultan Ismail, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman, SK Bukit Mentok, Sekolah Menengah Agama Al Falah dan SK Seri Kemaman.-UTUSAN