Restoran nasi lemak caj RM1 bagi bilik berhawa dingin ikut SOP

Restoran nasi lemak caj RM1 bagi bilik berhawa dingin ikut SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada kesalahan dilakukan restoran nasi lemak terkenal di Kampung Baru, dekat sini kerana mengenakan caj RM1 bagi menikmati hidangan di bilik dilengkapi penghawa dingin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung hantaran di aplikasi X berkaitan sebuah restoran nasi lemak di ibu negara yang mengenakan caj bagi bilik makan pelanggan yang disediakan dengan kemudahan penghawa dingin.

Menurutnya, dalam hantaran itu, gambar yang dikongsikan menunjukkan resit RM1 bayaran bilik berhawa dingin bertarikh 5 November lalu.

“Bertindak segera dalam tempoh 24 jam atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur dihantar ke lokasi restoran nasi lemak terkenal itu yang terletak di Kampung Baru.

“Hasil pemeriksaan mendapati harga bagi makanan, minuman serta caj perkhidmatan mematuhi dasar harga terangkum seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPDN berkata, pemeriksaan lanjut anggota penguat kuasa mendapati caj perkhidmatan bagi bilik berhawa dingin dikenakan kepada pelanggan dewasa iaitu caj RM1 bagi setiap pelanggan tetapi tiada caj dikenakan kepada kanak-kanak yang berusia 10 tahun dan ke bawah.

Kata kenyataan itu, pemeriksaan anggota penguat kuasa juga mendapati notis caj RM1 dipamerkan dengan jelas di kawasan pintu masuk serta di cermin bilik berhawa dingin yang mudah dilihat oleh pelanggan.

“Pekerja premis juga akan memberitahu terlebih dahulu kepada pelanggan yang ingin masuk ke bilik berhawa dingin berkenaan.

“Melalui keterangan pekerja restoran, caj RM1 ini dikenakan kepada pelanggan sejak tiga tahun yang lalu dan resit dikeluarkan kepada pelanggan yang menggunakan bilik itu sebagai bukti pembayaran,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, pemeriksaan di bilik makan berhawa dingin mendapati penghawa dingin berfungsi dengan baik dan pelanggan yang menggunakan bilik itu maklum tentang caj yang dikenakan serta tiada aduan dalam perkara ini.

“Hasil pemeriksaan oleh pasukan penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur mendapati pematuhan tanda harga dan caj di restoran ini adalah jelas dan tiada kesalahan yang dikesan mengikut perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak KPDN,” katanya.

Kata kenyataan itu, pada masa yang sama, pasukan penguat kuasa KPDN WP Kuala Lumpur juga dimaklumkan bahawa pihak restoran mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan hantaran viral itu sebagai langkah menjaga nama baik restoran berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya